Yusoff Rawther Saman Anwar Ibrahim

BeritaYusoff Rawther Saman Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther memfailkan saman terhadap Presiden PKR itu atas dakwaan melakukan serangan seksual terhadapnya pada 2018.

Muhammed Yusoff memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini, menerusi Tetuan Abd Halim Ushah & Associates dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.

Peguam Mahajoth Singh yang mewakili Muhammed Yusoff ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.

“Bagaimanapun, pihaknya masih belum menyerahkan salinan tuntutan saman kepada Anwar,” katanya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh setiausaha sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun tokoh Mahatma Gandhi yang ke-150, anjuran kedutaan India kepada defendan.

Plaintif mendakwa, sebaik tiba di kediaman itu, defendan mengarahkannya untuk masuk ke dalam rumah untuk berbincang secara lanjut mengenai teks ucapan berkenaan.

“Ketika berada di dalam bilik perpustakaan, Muhammed Yusoff cuba menyerahkan teks ucapan namun beliau tidak mengambilnya, sebaliknya, defendan menghampiri plaintif dan melakukan tindakan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya.

“Plaintif kemudian menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan berkenaan,”katanya.

Plaintif mendakwa sejak serangan seksual itu, tiada sebarang komunikasi antara dirinya dan defendan serta masih bekerja dengan Anwar sebelum dipindahkan ke Yayasan Aman.

Beliau turut mendakwa diserang oleh Setiausaha Politik Defendan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada 16 Mei 2019, jam 10 pagi dan mengalami serius dan terpaksa menerima rawatan perubatan.

“Selepas kejadian itu, plaintif meletakkan jawatan di Yayasan Aman pada 24 Jun 2019. Plaintif kemudian membuat satu laporan polis terhadap defendan pada 7 Disember 2019,” katanya.

Akibat tindakan itu, plaintif mendakwa beliau mengalami penderitaan antaranya gangguan fizikal, trauma serius, pencabulan kehormatan dan kehilangan reputasi.

Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan melakukan perlakuan serangan seksual dan plaintif berhak mendatangkan perlindungan.

Plaintif turut menuntut ganti rugi khas RM180 bagi setiap sesi terapi, teladan dan teruk serta sebarang relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis