Waspada, ‘Along’ Jerat Pencarum KWSP

BeritaWaspada, ‘Along’ Jerat Pencarum KWSP

PUTRAJAYA – Sasarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan menawarkan pinjaman mudah pada kadar faedah tinggi antara lima hingga tujuh peratus sebulan.
Itu antara tindakan pihak tertentu yang menggunakan nama Syarikat Pemberi Pinjam Wang (PPW) berlesen atau Kredit Komuniti berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memperdaya mangsa.

Mereka dikatakan sengaja mengedarkan iklan mengelirukan bagi menarik peminjam dengan menawarkan pinjaman jauh melebihi kadar faedah ditetapkan di dalam Akta Pemberi Pinjam Wang (1951) iaitu maksimum 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun.

KPKT dalam kenyataan tadi menafikan sebarang pembabitkan dengan iklan yang menawarkan skim pinjaman KWSP seperti tular di media sosial dan laman web.

Ia berikutan iklan yang menyasarkan pemilik akaun KWSP itu menggunakan nama syarikat PPW berlesen atau kredit komuniti yang berdaftar di bawah KPKT.

KPKT dalam satu kenyataan memaklumkan iklan itu mengandungi maklumat pinjaman mencurigakan bertujuan memperdaya orang ramai.

“Antaranya mereka menawarkan skim pinjaman tanpa bayaran bulanan dengan hanya penyata KWSP diperlukan bagi semakan kelayakan pinjaman, dengan sasaran individu berumur antara 48 hingga 55 tahun.

“KPKT yang memandang serius iklan berkenaan menegaskan bahawa urusan dengan pihak kredit komuniti hanya boleh dilakukan dalam premis perniagaan berdaftar dan sah sahaja.

“Orang ramai perlu mendapatkan pengesahan maklumat daripada KPKT dahulu sebelum sebarang perjanjian dibuat dan tidak menandatangani perjanjian kosong,” katanya.

KPKT berkata iklan berkenaan dikhuatiri menjejaskan imej dan kredibiliti sektor kredit komuniti dan memberi implikasi negatif kepada orang ramai khususnya peminjam yang terjebak dengan aktiviti yang tidak bertanggungjawab.

KPKT berkata mana-mana syarikat kredit komuniti berlesen yang didapati terlibat dengan pinjaman mengelirukan atau mengenakan kadar faedah tinggi boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17A Akta 400 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya sekali.

Sebarang aduan berkaitan boleh dikemukakan melalui Sistem Aduan Bersepadu KPKT iaitu aduan.kpkt.gov.my, aplikasi mudah alih i-KrediKom, Talian Hotline Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK) di talian 03-8891 4694/4690 ataupun hadir di Kaunter Aduan KPKT di Aras 1, KPKT di Putrajaya. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis