Video Raya Ajak Berjudi: Polis Cari Penerbit, Pelakon!

DuniaVideo Raya Ajak Berjudi: Polis Cari Penerbit, Pelakon!

POLIS Diraja Malaysia kini memburu penerbit dan pelakon video hari raya sebuah syarikat judi yang mengajak umat Islam untuk berjudi bagi mencari wang tambahan untuk pulang berhari raya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat asal usul video ini.

“Siasatan polis akan menjurus kepada penerbit dan pelakon-pelakon yang terlibat di dalam video ini. Meraka akan dikesan dan akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya video berdurasi dua minit satu saat yang mempromosikan perjudian atas talian didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran orang ramai.

Sejak semalam kecoh di media sosial mengenai video iklan berkenaan yang dianggap menghina umat Islam dan cuba mempengaruhi umat Islam bermain judi bagi mencari dana untuk pulang berhari raya.

Pelakon iklan terbabit termasuk dua wanita dilihat memakai pakaian tradisional iaitu berbaju kurung dan berbaju Melayu bagi lelaki menyanyikan lagu bertemakan hari raya sambil mempromosi laman web perjudian.

Berlatarbelakangkan kampung Melayu, lirik lagu iklan syarikat judi itu antara lain berbunyi,”Tapi mengapa kau muram sahaja, duduk termenung seorang diri, nak balik kampung duit tak ada, tapi ada cara untuk mencari, ******* ada, apa ditunggu marilah cuba, untung nasibmu engkau berjaya, cuci semua kemudian beraya. GDBet333 banyaklah uang boleh dimenangi, mari ke ******* menang banyak pasti happy.”

Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak terutama umat Islam kerana ia jelas menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini. SM

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis