Vaksinasi Lengkap Untuk Nikmati Kemudahan PPN

BeritaVaksinasi Lengkap Untuk Nikmati Kemudahan PPN

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, menetapkan semua kemudahan diumumkan sebelum ini melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan bersama syarat vaksinasi lengkap bagi setiap fasa.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu mengambil kira perkembangan terkini peralihan fasa PPN di kebanyakan negeri dan dominasi varian Delta dalam kalangan varian baharu COVID-19 yang dikesan di dalam negara.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju setiap kemudahan yang diumumkan sebelum ini dilaksanakan dengan syarat vaksinasi lengkap kekal bagi semua fasa PPN.

“Bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang disahkan pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, perincian mengenai SOP fasa PPN akan diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira keselamatan nyawa rakyat, mengukuhkan sistem kesihatan awam negara, melancarkan pembukaan semula ekonomi dan memastikan usaha kerajaan memulakan proses peralihan ke fasa endemik dilakukan dengan selamat.

“Kita tidak selamat sehingga semua selamat. Saya ingin tegaskan kejayaan membawa negara keluar daripada pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan, tetapi juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP yang ditetapkan,” katanya yang turut menegaskan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali serius jika masyarakat mengambil mudah kelonggaran diberikan.

Khairy berkata, disebabkan itu, tumpuan juga mesti diberikan kepada pendidikan masyarakat atau pemerkasaan komuniti supaya seluruh masyarakat faham peranan mereka dalam usaha membawa negara keluar daripada pandemik ini.

Beliau berkata, langkah pembukaan semula sektor sosial dan ekonomi di dalam negara mesti dilakukan dengan berhati-hati dan selamat.

“Sebab itu, pada 8 Ogos dan 15 Ogos 2021, kerajaan mengumumkan kemudahan sektor sosial dan ekonomi hanya bagi individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap.

“Penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu lengkap vaksinasinya apabila memenuhi kriteria iaitu pertama, bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, individu terbabit mesti melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

“Kedua, bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, individu berkenaan mesti melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” katanya. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis