UPKO Tolak Cadangan Tubuh MAGERAN

BeritaUPKO Tolak Cadangan Tubuh MAGERAN

KOTA KINABALU – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menolak cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) bagi menangani pelbagai isu dihadapi negara ketika ini.

Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata pendirian itu ialah antara sembilan perkara dikemukakan beliau ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melalui persidangan video, hari ini.

Katanya, UPKO yakin penubuhan MAGERAN tidak mampu mewujudkan kestabilan politik mahupun menyelesaikan masalah dihadapi negara.

Beliau berkata, UPKO turut memaklumkan pendirian agar proklamasi darurat tidak dilanjutkan apabila tamat pada Ogos depan, sebaliknya berharap ia dapat ditamatkan lebih awal.

“Proklamasi darurat tidak memberi nilai tambah kepada usaha membendung pandemik COVID-19, malah terbukti gagal apabila kes melonjak hingga mencapai angka harian tertinggi 9,020 jangkitan, baru-baru ini,” katanya pada sidang media secara dalam talian selepas sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Sebelum ini, cadangan penubuhan MAGERAN oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut ditolak Pakatan Harapan (PH) dan beberapa pemimpin kerajaan.

Mengulas lanjut, Madius berkata, UPKO hanya bersetuju pelaksanaan proklamasi darurat secara bersasar seperti yang dilaksanakan di Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, tahun lalu, bagi menangguhkan pilihan raya kecil dalam usaha mengelakkan penularan COVID-19.

Seterusnya, beliau berkata, penamatan darurat perlu disusuli pembukaan semula Parlimen dan DUN bagi membolehkan institusi itu kembali berfungsi sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan dalam usaha menyelesaikan permasalahan yang timbul. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis