UMNO Wajar Keluar Dari PN – Khaled

BeritaUMNO Wajar Keluar Dari PN – Khaled

KUALA LUMPUR – UMNO wajar keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mengusahakan penubuhan kerajaan baharu sebagai jalan keluar daripada krisis Perlembagaan. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pilihan yang lebih baik dan strategik ialah meninggalkan kerajaan PN berbanding membelakangkan kepentingan nasional, dalam saat krisis ini.

“UMNO tidak boleh meninggalkan negara untuk PN. Apa lagi bila wibawa kerajaan sudah punah.

“UMNO mesti menggunakan kesempatan ini untuk memberikan kepimpinan yang diharapkan, demi sebuah negara yang sangat memerlukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, usaha UMNO untuk menubuhkan kerajaan baharu demi menyelamatkan negara perlu berasaskan kepada tiga mandat.

Katanya, mandat itu ialah menguruskan ekonomi negara, menguruskan krisis kesihatan dan mentadbir negara, demi persediaan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, kuasa kerajaan baharu itu akan terhenti apabila PRU-15 diadakan.

“Parlimen mesti harus terus bersidang. Kebebasan media dan media sosial dijamin.

“Setiap keputusan dan perbelanjaan kerajaan mesti dibentangkan di Parlimen, demi kepentingan semak dan imbang serta fungsi Perlembagaan mesti dipulihkan sepenuhnya,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, negara kini sedang berada dalam krisis Perlembagaan dan kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam tidak menjernihkan keadaan, malah akan menjadikan semakin meruncing.

Beliau berkata, Ahli-ahli Parlimen UMNO hanya mempunyai satu pilihan, iaitu mendukung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan sepenuh jiwa.

Katanya, UMNO tidak akan dan tidak wajar terheret dalam konflik berkenaan, malah antara iltizam parti itu sejak awal penubuhannya ialah mempertahan institusi Raja.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana baginda belum memperkenannya.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri mendakwa, semua tindakan yang dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan, dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis