UMNO Akan Pertahan Semua Kerusi Parlimen, DUN – Zahid

BeritaUMNO Akan Pertahan Semua Kerusi Parlimen, DUN – Zahid

SHAH ALAM – UMNO akan mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini seperti yang diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tahun lalu.

“UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi telah dimenangi dalam PRU14. Ketetapan ini bukan hanya oleh MKT, tetapi ia lahir daripada suara akar umbi yang mahu UMNO menjadi dominan semula selepas PRU15.

“Dominan bukan pula bermaksud angkuh, tetapi kewajipan mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan,” katanya menerusi tulisan di Facebook pada Jumaat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, PN memulakan rundingan kerusi bagi menghadapi PRU15 tanpa UMNO.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ini kerana pihaknya masih tidak mendapat sebarang petunjuk sama ada UMNO mahu berbincang mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menambah, kemenangan UMNO sangat signifikan dalam memastikan kestabilan yang kukuh kerana ia merupakan parti terbesar bangsa Melayu dan terbesar di negara ini.

“Dan pastinya UMNO sedia maklum akan ada parti lain bertanding di kawasan sama. Ini lumrah sebuah negara demokrasi.

“Namun jangan sesekali memperkecilkan kekuatan UMNO dan para akar umbinya bangkit,” tegasnya.

Menurutnya, rakyat telah mengerti antara kebenaran dan kepalsuan serta melihat dengan jelas apa yang berlaku selepas PRU14.

“Pisang tidak berbuah dua kali. Cukup-cukup sudah apa yang terpaksa mereka lalui sejak 9 Mei 2018,” ujarnya.

Kredit: Sinar Harian

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis