Tiada Usul Undi Percaya Perdana Menteri

BeritaTiada Usul Undi Percaya Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Usul undi percaya kepada Perdana Menteri dan pertukaran Speaker Dewan Rakyat tidak dimasukkan dalam aturan urusan mesyuarat sidang Dewan Rakyat yang bermula Isnin depan.

Berdasarkan notis aturan ururan mesyuarat yang diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen minggu ini, usul pertama yang akan dibentang berkaitan memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Usul itu dijangka dibentang pada hari kedua persidangan Dewan Rakyat pada Selasa, sebaik selesai sesi pertanyaan bagi jawab lisan yang akan bermula jam 10 pagi.

Usul itu dibentang susulan kekosongan kerusi berkenaan ekoran peletakan jawatan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Selesai usul berkenaan, usul kedua pula akan dibentang Menteri Dalam Negeri berkaitan keselamatan sepanjang tempoh persidangan diikuti usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong oleh Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun.

Jurucakap Parlimen yang dihubungi hari ini juga mengesahkan berkenaan aturan ururan mesyuarat berkenaan yang sudah mula diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen sejak semalam.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut berkongsi sebahagian kandungan aturan urusan mesyuarat berkenaan menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan sebelum ini mengesahkan Pakatan Harapan (PH) mencadangkan bekas Timbalan Yang Dipertua dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming untuk mengisi jawatan dikosongkan Azalina.

Katanya, DAP menyokong seorang Ahli Parlimen pembangkang dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua bagi menghormati prinsip asas Parlimen dimiliki semua Ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang.

Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi notis kepada Ahli-ahli Parlimen sebelum ini memaklumkan, mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 dipinda ke tarikh 13 September hingga 12 Oktober depan selama 17 hari, berbanding 15 hari yang dijadualkan sebelum ini pada 6 September hingga 30 September.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat pada hari pertama Isnin depan, serta menyampaikan titah diraja.

Berdasarkan urusan majlis sidang itu juga, sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja akan bermula pada hari kedua berlangsung hingga 21 September, sebelum kemudian diteruskan dengan jawapan menteri-menteri pada 22 dan 23 September depan.

Sidang kali ini juga akan menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 27 September, disusuli sesi pembahasan yang bermula 28 September hingga 4 Oktober.

Mesyuarat pertama bagi tahun ini juga dijadual berakhir pada minggu kelima dengan urusan majlis berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) dan urusan lain kerajaan pada 11 dan 12 Oktober depan. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis