Tiada Sejarah Vaksinasi Berisiko Tinggi Dijangkiti COVID-19

BeritaTiada Sejarah Vaksinasi Berisiko Tinggi Dijangkiti COVID-19

KUALA LUMPUR – Kadar jangkitan COVID-19 dalam kalangan individu tiada sejarah vaksinasi jauh lebih tinggi berbanding yang divaksin iaitu antara 67.5 peratus hingga 97.9 peratus bagi lima kategori.

Peratusan tertinggi direkodkan bagi kategori lima semalam apabila 93 kes atau 97.9 peratus dicatat oleh mereka yang belum divaksin, berbanding hanya dua kes atau 2.1 peratus oleh mereka yang divaksin.

Bagi kategori satu yang tidak bergejala, sebanyak 95.6 peratus pesakit direkodkan semalam tidak mempunyai sejarah vaksinasi, manakala kategori dua yang bergejala ringan merekodkan 87.6 peratus.

Jumlah pesakit COVID-19 yang mempunyai sejarah vaksinasi dalam kategori satu dan dua masing-masing seramai 316 orang atau 4.4 peratus dan 872 (12.4 peratus).

Data Kementerian Kesihatan itu sekali gus menunjukkan mereka yang belum divaksinasi terdedah dan berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19.

Semalam Malaysia mencatatkan jumlah kes harian sebanyak 14,518 kes. Daripada jumlah itu, kategori satu merekodkan 7,216 kes atau 49.7 peratus, manakala kategori dua sebanyak 7,045 kes atau 48.5 peratus.

Selain itu, data KKM juga menunjukkan bilangan pesakit yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi lebih tinggi bagi kategori tiga (radang paru-paru), kategori empat (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) dan kategori lima (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan).

Bagi kategori tiga, sebanyak 56 kes atau 67.5 peratus dicatat oleh mereka yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi berbanding 27 kes (32.6 peratus) mereka yang mempunyai vaksinasi.

Kategori empat pula, 66 kes (85.7 peratus) adalah mereka yang yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi berbanding hanya 11 kes (14.3 peratus) mereka yang sudah divaksinasi. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis