Tiada Ramuan Babi Dalam Vaksin Pfizer, AstraZeneca

NasionalTiada Ramuan Babi Dalam Vaksin Pfizer, AstraZeneca

PUTRAJAYA – Semakan sudah dibuat terhadap vaksin Pfizer dan AstraZeneca yang mendapati tiada ramuan yang datang daripada khinzir (babi) sebagaimana didakwa segelintir pihak, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, biarpun terdapat kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa vaksin diproses syarikat Pharmaniaga adalah satu-satunya vaksin yang halal di dunia, ia tidak bermaksud vaksin yang lain itu haram.

“Saya difahamkan, vaksin jenis Sinovac yang diproses dan dibotolkan Pharmaniaga mendapat sijil halal oleh Majlis Ulama Indonesia.

“Bagaimanapun, ini tidak bermaksud vaksin lain mengandungi apa-apa ramuan yang menyebabkan vaksin itu haram.

“Kita sudah buat semakan terhadap vaksin Pfizer dan AstraZeneca dan mendapati tiada sebarang ramuan yang datang daripada khinzir (babi) sebagaimana yang didakwa,” katanya pada sidang media secara maya Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, tiada isu membabitkan pengeluaran vaksin oleh Pharmaniaga seperti yang didakwa sebaliknya kerajaan yakin syarikat itu dapat memenuhi kontrak pembekalan dan penghantaran seperti ditetapkan kerajaan.

“Pharmaniaga juga difahamkan akan membawa masuk bekalan vaksin Sinovac dari China bagi membantu melancarkan PICK.

“Kami dimaklumkan, Pharmaniaga mampu membekalkan 500,000 dos vaksin Sinovac seminggu,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan kononnya vaksin yang diproses Pharmaniaga tidak memenuhi kualiti dan setanding dengan Sinovac yang dibekalkan terus dari China.

Khairy turut menjelaskan bahawa vaksin yang diproses Pharmaniaga di kilangnya di Puchong, Selangor menepati kualiti yang sama seperti bekalan yang diterima dari China.

“Tuduhan ini langsung tidak bertanggungjawab dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang menyebarkan berita tidak benar ini,” katanya. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis