Tiada ‘Isu Luar Dugaan’ Sidang Dewan Negara

BeritaTiada ‘Isu Luar Dugaan’ Sidang Dewan Negara

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Negara yang akan berlangsung selama tiga hari dari 3 hingga 5 Ogos depan, hanya akan memberi tumpuan kepada penerangan membabitkan proklamasi darurat dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, memaklumkan sudah menerima pemakluman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sidang itu hanya akan memfokuskan perkara itu, selaras peruntukan Peraturan Mesyuarat 10(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Sehubungan itu, katanya, tidak timbul ‘isu di luar dugaan’ dalam sidang Dewan Negara kali ini kerana ia bersifat persidangan khas yang mustahak dan dilaksanakan bagi faedah orang ramai.

“Oleh kerana sesi ini bersifat persidangan khas, tumpuan ialah kepada penerangan, dan tidak timbul isu usul yang di luar dugaan.

“Ingin dinyatakan juga bahawa sesi Mesyuarat Khas Dewan Negara yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 Ogos 2021 adalah di luar kuat kuasa tempoh darurat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rais berkata, tiga urusan telah ditetapkan Perdana Menteri sepanjang sidang khas Dewan Negara itu, antaranya membentangkan proklamasi darurat bertarikh 11 Januari lalu, dan beberapa Ordinan Darurat yang dibuat mengikut Perkara 150(3), kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Urusan kedua, katanya, membentangkan proklamasi darurat bertarikh 12 Disember tahun lalu mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Gerik, Perak dan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, serta Ordinan Darurat yang dibuat di bawah proklamasi itu.

“Seterusnya adalah penerangan daripada menteri mengikut Peraturan Mesyuarat 13(1)(i) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara berhubung PPN, program vaksinasi, pelaksanaan darurat dan pakej bantuan ekonomi.

“Sepanjang mesyuarat khas ini, Peraturan Mesyuarat biasa akan dikuatkuasakan dalam menjalankan prosesur persidangan. Sebarang persoalan, penjelasan atau hak penerangan dikemukakan Ahli Dewan Negara akan diberi pertimbangan mengikut kerelevanannya,” katanya.

Rais turut memaklumkan, sidang khas Dewan Negara itu akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) anti COVID-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Setiausaha Dewan Negara akan menyusul dengan mengeluarkan pemberitahu berkenaan Mesyuarat Khas kepada semua Ahli Dewan Negara,” katanya. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis