“Terima Kasih Kerana Bantu Jaga SJR” – PM

Berita“Terima Kasih Kerana Bantu Jaga SJR” – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan kepada semua anggota penguat kuasa yang membantu operasi sekatan jalan raya di Lembah Klang.

Ia membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penguat kuasa lain yang ditugaskan memantau sekatan jalan raya.

Penghargaan itu dimaklumkan Perdana Menteri melalui ciapan di Twitternya susulan peralihan status Lembah Klang daripada Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera turut menzahirkan penghargaan kepada anggota ditugaskan bagi memantau sekatan jalan raya yang masih beroperasi di seluruh negara.

“Pengorbanan dan jasa semua amatlah dihargai oleh saya dan rakyat Malaysia.

“Terima kasih barisan hadapan Keluarga Malaysia,” katanya, hari ini.

Ciapan berkenaan turut disertakan tanda pagar #KeluargaMalaysia dan #BekerjaBersamaRakyat.

Kelmarin, BH melaporkan Lembah Klang beralih ke Fasa 2 PPN, membabitkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19.

Rentetan daripada pengumuman itu, rentas daerah dibenarkan kepada individu lengkap dos vaksin, manakala pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin pula dibenarkan untuk merentas negeri.

Kelonggaran lain diberikan bagi peralihan fasa berkenaan adalah sama seperti negeri yang memasuki fasa dua sebelum ini, yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kredit: BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis