Terbuka Austria: Hon Jian-Ee Wei ketuai tiga beregu campuran ke pusingan kedua

Gaya HidupTerbuka Austria: Hon Jian-Ee Wei ketuai tiga beregu campuran ke pusingan kedua

 Hon Jian-Ee Wei mara ke pusingan kedua Terbuka Austria.

GANDINGAN Choong Hon Jian-Toh Ee Wei mengetuai cabaran tiga beregu campuran negara mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Austria, hari ini.

Turut mengiringi mereka adalah pasangan Beh Chun Meng-Cheng Su Hui dan Haikal Nazri-Low Yeen Yuan, selepas masing-masing melepasi halangan pusingan pertama mereka.

Hon Jian-Ee Wei, juara di Kejohanan Antarabangsa Slovenia, minggu lalu, yang berdepan pilihan kelapan yang juga gandingan tuan rumah, Philip Birker-Katharina Hochmer menang 21-11, 21-23, 21-12.

Set kedua menyaksikan servis Ee Wei dipersalahkan kira-kira tujuh kali oleh pengadil servis, termasuk ketika kedudukan 19-19 hingga menjejaskan tumpuan pasangan negara.

“Saya tidak faham kenapa servis saya kerap dipersalahkan. Sebab itu, lawan boleh menang set kedua,” kata Ee Wei kepada CAKAPSUKAN.

Hon Jian-Ee Wei yang kini menghuni ranking ke-182 dunia daripada 263 minggu lalu, kini akan berdepan Haikal-Yeen Yuan yang mara selepas menundukkan Nicolas Hoareau-Laetica Jaffrennou dari Perancis 21-19, 21-16.

Chun Meng-Su Hui pula mara selepas menewaskan Aram Mahmoud-Amy Tan dari Belanda 21-14, 19-21, 21-12, dan kini akan berdepan pilihan keenam, Pawel Smilowski-Wiktoria Adamek dari Poland di pusingan kedua.

Smilowski-Adamek sebelum itu menyingkirkan beregu negara, Goh Boon Zhia-Cheng Su Yin dengan kemenangan 22-20, 9-21, 21-17.

Satu lagi pasangan negara, Tan Kok Xian-Wong Kha Yan gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 16-21, 17-21 kepada Maciel Matusz-Kornelia Marczak dari Poland.

Sementara itu, kesilapan melihat jadual perlawanan menyaksikan Siti Shuhaini Azman memberi kemenangan percuma kepada lawannya dalam acara perseorangan dan beregu wanita.

Siti Shuhaini seharusnya menentang pilihan kelapan, Beatriz Corrales dari Sepanyol di pusingan pertama, namun tiba sesudah lawan diberikan kemenangan percuma.

Dia yang berganding dengan Khor Jing Wen dalam beregu wanita, turut memberi kemenangan percuma kepada pasangan Belgium, Lisa Jaques-Lien Lammertyn.

Bagi acara perseorangan lelaki, Justin Hoh mara ke pusingan kedua berikutan lawannya, Milan Dratva dari Slovakia tidak meneruskan perlawanan selepas waktu rehat set pertama ketika pemain negara mendahului 11-5.

Justin adalah wakil tunggal negara dalam acara ini dan mara selepas mengharungi pusingan kelayakan.

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis