Tak Mustahil 26,000 Kematian Covid-19 Menjelang September

BeritaTak Mustahil 26,000 Kematian Covid-19 Menjelang September

KUALA LUMPUR – Malaysia berkemungkinan boleh mencapai 26,000 kes kematian akibat Covid-19 menjelang September ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, ini berikutan kes kematian pesakit Covid-19 dalam kalangan golongan muda ketika ini sangat membimbangkan.

“Kes ‘brought in dead’ (BID) atau meninggal ketika dibawa ke hospital dalam kalangan golongan muda yang berusia bawah 30 tahun menunjukkan peningkatan.

“Mereka ini tidak sempat ditempatkan ke hospital dan meninggal dunia. Keadaan ini berpunca daripada kandungan oksigen dalam badan yang rendah, malah tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan.

“Ia dikaitkan dengan ‘happy hypoxia’ yang pernah dilaporkan dan dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini,” katanya dalam sidang media khas di Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Semalam, Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dilaporkan mendedahkan satu kajian mendapati jumlah kematian berkaitan Covid-19 di negara ini berkemungkinan mencapai 26,000 kes menjelang September berdasarkan trajektori semasa.

Anggaran angka itu sekurang-kurangnya sembilan kali ganda daripada jumlah kumulatif kes kematian terkini iaitu 2,993 setakat hari ini.

Dr Adeeba turut dilaporkan berkata, kajian oleh Institute for Health Metric and Evaluation (IHME) Universiti Washington itu juga menganggarkan kadar kematian harian akan mencecah 200 kes menjelang akhir Ogos.

Sementara itu, Dr Adham berkata, program saringan Covid-19 bersasar yang dilakukan pihaknya membantu mengenal pasti kes positif dan kontak rapat yang berada di luar dengan cepat sekali gus mengawal penularan jangkitan serta kadar kematian yang tinggi.

Beliau turut menyambut baik usaha kerajaan negeri Selangor yang turut mengambil tindakan sama untuk membantu KKM mengesan kes positif dalam komuniti.

Selain itu, katanya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dipercepatkan selain pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) turut membantu pengurangan kes dan memberi rawatan kepada pesakit. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis