Tabik kepada penjawat awam

EditorialTabik kepada penjawat awam

SAUDARA PENGARANG,

TERJADI dua peristiwa besar pada tahun ini di Malaysia iaitu penularan pandemik Covid-19 dan krisis politik yang mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan digantikan dengan pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

Dua peristiwa itu yang berlaku pada waktu serentak menyerlahkan kewibawaan penjawat awam apabila kekal positif tatkala negara dilanda krisis politik selama seminggu pada Februari lalu.

Prinsip berkhidmat kepada mana-mana pihak yang memerintah dipegang dengan kuat dan menjadi benteng kepada keutuhan pentadbiran meskipun negara berada dalam ketidaktentuan politik.

Peranan Ketua Setiausaha Negara, ketua setiausaha kementerian-kementerian dan para penjawat awam lain amat dirasai ketika tempoh krisis politik tersebut.

Perjalanan pentadbiran negara masih berlangsung dengan baik dan penjawat awam mempunyai kesedaran bahawa negara tetap perlu ditadbir dengan kudrat jentera pentadbiran yang ada demi memastikan rakyat tidak terkesan teruk dengan krisis politik berkenaan.

Ketika krisis terbabit, muncul ikon penjawat awam yang penuh berwibawa yang tidak hilang fokus untuk memerangi Covid-19. Ketokohan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam menjadi panglima perang melawan wabak berkenaan begitu menyinar sekali.

Lebih ramai tokoh seperti Noor Hisham diperlukan bagi membolehkan Malaysia mempunyai banyak penjawat awam yang menjadi ikon publik dan menjana imej kerajaan yang dekat dengan rakyat.

DR. MUHAMMAD ABD. HADI BUNYAMIN
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis