Syed Saddiq Mengaku Tak Bersalah 2 Tuduhan Ubah Wang Haram

BeritaSyed Saddiq Mengaku Tak Bersalah 2 Tuduhan Ubah Wang Haram

JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini.

Syed Saddiq, 29, yang juga Ahli Parlimen Muar, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan itu, Syed Saddiq didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling di sini pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan terbabit mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sabit setiap kesalahan, bagi dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan Mohd ‘Afif Ali, manakala Syed Saddiq diwakili peguam bela, Gobind Singh Deo.

Susulan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh, mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan disekalikan dengan jaminan bagi dua pertuduhan yang diputuskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini.

Mahkamah juga membenarkan dua pertuduhan hari ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibaca bersama dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini, pada 10 September depan.

Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar, yang diiringi oleh Gobind Singh tiba di mahkamah pada jam 8.58 pagi.

Syed Saddiq yang kini ialah Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (MUDA), sebelum ini memegang jawatan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Terdahulu, beberapa individu dipercayai penyokong dan ahli keluarga Syed Saddiq termasuk ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dilihat hadir di lobi mahkamah.

Pada 22 Julai lalu, Syed Saddiq dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pecah amanah dana ARMADA berjumlah RM1 juta pada tahun lalu.

Selain itu, beliau berhadapan tuduhan menyalah guna harta iaitu wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000.

Syed Saddiq, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua tuduhan itu yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis