Sultan Johor Dukacita KDN Enggan Semak Semula Syarat Ketat MM2H

BeritaSultan Johor Dukacita KDN Enggan Semak Semula Syarat Ketat MM2H

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan dukacita terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana enggan menyemak semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda akan membangkitkan perkara itu secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat.

Baginda bertitah, ia memandangkan Johor adalah antara destinasi popular MM2H, selain sumbangan program berkenaan kepada pendapatan negeri. 

“Namun, apa yang kita dengar di Parlimen hanyalah janji untuk mempertimbangkan permohonan peserta MM2H berdasarkan kes demi kes, dan ini adalah di luar jangkaan dan sesuatu yang mengecewakan.

“Jika keselamatan adalah justifikasi utama untuk kriteria baharu, maka kementerian hanya perlu membatalkan visa pemegang pas MM2H yang didapati melakukan kesalahan, dan bukannya membabitkan semua peserta,” titah baginda dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi baginda, hari ini.

Pada 1 September lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, kira-kira 8,000 daripada 57,478 peserta prinsipal dan tanggungan program MM2H didapati tidak bermastautin di negara ini.

Hamzah dilaporkan sudah mengarahkan pegawainya untuk menghubungi individu terbabit bagi mengetahui hasrat mereka untuk terus berada dalam program MM2H dalam negara ini.

Sebelum itu, Hamzah berkata, kerajaan sudah melakukan penambahbaikan kepada syarat permohonan Program MM2H, namun peserta sedia ada diminta tidak gusar dengan usaha yang dijalankan kerajaan itu.

Katanya, dasar kerajaan ketika ini menetapkan bilangan peserta MM2H pada satu peratus daripada jumlah populasi negara.

Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah, keputusan berkenaan yang menyaksikan keengganan KDN menyemak semula syarat ketat Program MM2H, hanya akan membawa implikasi negatif. 

“MM2H adalah satu program yang memberi kesan baik kepada ekonomi Malaysia dan begitu juga kepada rakyat serta kerajaan. 

“Jika sekarang kita mengenakan syarat ketat hingga memberi kesan kepada peserta, dikhuathiri kelak akan menjejaskan imej negara di mata dunia.

“Saya berharap perkara ini akan mendapat perhatian serta pertimbangan dari kerajaan tanpa membuat keputusan drastik terhadap program ini,” titah baginda. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis