Suami Isteri Dibunuh Kejam Anak Lepas Berbual Soal Ketuhanan

BeritaSuami Isteri Dibunuh Kejam Anak Lepas Berbual Soal Ketuhanan

LIPIS – Perbincangan mengenai agama dan ketuhanan akhirnya membawa tragedi berdarah apabila sepasang warga emas maut ditikam dan dikelar anak sendiri di rumah tidak bernombor di Kampung Kemahang, Benta, malam tadi.
Dalam kejadian 11.55 malam itu, Mohammad Maasai, 68, dan isterinya, Zailan Zainudin, 64, maut ditikam dan dikelar di leher oleh anak mereka.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati anak mangsa yang berusia 34 tahun adalah penganggur.

“Kejadian berlaku ketika suspek bersama ayah dan ibunya sedang berborak.

“Tidak lama kemudian, ibu suspek masuk ke bilik. Suspek berborak dengan ayahnya mengenai ilmu agama dan ketuhanan,” katanya.

Beliau berkata, suspek mendakwa ternampak mata bapanya bertukar hitam dan seakan hendak menyerangnya menyebabkan dia mengambil parang dalam bilik dan menetak mangsa.

“Ibu suspek yang nampak kejadian cuba membantu tetapi suspek menyerang wanita itu dengan menetak dan menikam di leher dan kepala.

“Ibu suspek sempat melarikan diri keluar dari rumah tetapi rebah berhampiran pagar.

“Suspek keluar mencari ibunya tapi tidak nampak sebelum masuk semula ke dalam rumah. Dia seterusnya keluar dan berjalan sehingga ke tepi jalan besar,” katanya.

Azli berkata, suspek ditahan oleh orang kampung dalam keadaan bogel dan berlumuran darah.

Katanya, penduduk kemudian ke rumah suspek dan ternampak Mohammad dalam keadaan terbaring di lantai manakala rumah dipenuhi darah.

Beliau berkata, Zailan pula ditemukan terbaring di kawasan berumput dekat pagar.

Katanya, penduduk menahan suspek sehingga polis tiba dan suspek ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kredit: myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis