SUA Hishammuddin Buat Laporan Polis Susulan Surat Palsu

BeritaSUA Hishammuddin Buat Laporan Polis Susulan Surat Palsu

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis dibuat susulan surat palsu yang mengaitkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan pelantikan sebagai perdana menteri.

Setiausaha Akhbar kepada Hishammuddin, Mohd Hafiz Ariffin berkata, surat itu telah direka dengan menggunakan kepala surat Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), tandatangan Hishammuddin serta cop perakuan penerimaan surat oleh Bahagian Khidmat Pengurusan Istana Negara.

Menurut beliau, surat itu kelihatan sahih, namun adalah 100 peratus palsu.

“Laporan polis hari ini (Khamis) dibuat untuk mengesahkan bahawa surat, kepala surat, tandatangan dan cop perakuan penerimaan di dalam surat itu adalah palsu serta telah direka oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Surat itu adalah satu fabrikasi yang disebarkan dengan niat jahat bagi memburukkan reputasi beliau (Hishammuddin) serta mewujudkan kekeliruan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Khamis.

Mohd Hafiz berkata, surat palsu itu menyatakan kononnya Hishammuddin memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap bagi mempersembahkan jumlah sokongan ahli Parlimen untuk beliau diangkat menjadi perdana menteri.

Beliau berkata, surat palsu itu adalah taktik kotor pihak yang berkepentingan untuk menangguk di air yang keruh, mengambil peluang di saat situasi politik dan negara berada dalam keadaan getir.

Katanya, pemalsuan dokumen dan tandatangan ini wajar disiasat dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

“Perkara ini perlu disiasat agar tidak menjadi amalan yang menggalakkan politik kebencian dan fitnah,” katanya. – Sinar Harian

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis