SPRM Terus Unggul Banteras Rasuah

BeritaSPRM Terus Unggul Banteras Rasuah

KUALA LUMPUR – Bermula dengan hanya sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri sekitar lima dekad lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menjadi sebuah agensi penguatkuasaan yang digeruni selepas berjaya membongkar pelbagai kes rasuah berprofil tinggi.
SPRM yang kini menjejak usia matang ke-54 tahun tidak lagi menoleh ke belakang, malah lebih fokus untuk membanteras isu rasuah dalam sektor perolehan, penguatkuasaan dan grand corruption (rasuah berskala besar), seiring dengan transformasi ekonomi dan perkembangan sosiobudaya masa kini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata selepas lebih separuh abad SPRM menjadi agensi ulung dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa mengikut undang-undang, ia tidak terlepas daripada pelbagai cabaran.

Beliau berkata, jenayah yang berbentuk grand corruption serta jenayah sindiket semakin meningkat dan SPRM perlu melihat kaedah penyiasatan yang lebih kemas dan berkesan.

“Kita tidak boleh duduk di takuk lama. Kita sudah melalui zaman pascakemerdekaan, zaman pembangunan modenisasi, perkembangan ekonomi, melalui zaman kesusahan kewangan ekonomi pada 1999 dan kemudian negara berkembang semula serta mengalami perubahan landskap politik.

“Kita perlu menggandakan usaha dalam kaedah perisikan dan penyiasatan menggunakan teknologi yang lebih maju.

“Saya akan memohon kepada kerajaan untuk membantu kita menambah kapasiti dalam peningkatan penggunaan teknologi dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada wawancara khas secara maya sempena sambutan Ulang Tahun Badan Pencegah Rasuah (BPR)/SPRM Ke-54, hari ini.

Mengulas sambutan ulang tahun SPRM yang bertemakan ‘Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi’, Azam berkata, pelbagai program dirangka untuk mempromosikan semangat integriti dalam kalangan masyarakat.

“Integriti ini bermaksud amanah, tanggungjawab, disiplin dan perkara baik dalam diri manusia. Jika perkara ini tiada, sudah tentu apa sahaja usaha kita untuk perangi rasuah tidak berkesan.

“Antara lain, kita perlu mengadakan undang-undang dan peraturan yang sesuai untuk menyemarakkan budaya integriti dalam kalangan masyarakat, pegawai kerajaan dan pegawai SPRM. Selepas itu, barulah usaha untuk memerangi rasuah boleh dijalankan dengan berkesan,” katanya. – BERNAMA

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis