SPR Diarah Laksana Undi 18 Menjelang Disember

BeritaSPR Diarah Laksana Undi 18 Menjelang Disember

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diarahkan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember ini bagi mematuhi keputusan mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“SPR diminta untuk melaksanakan apa sahaja yang perlu berlandaskan kuasa di bawah SPR yang disebut hakim di Sarawak untuk melaksanakannya,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke SPR di sini hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuching Jumaat lalu memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Wan Junaidi berkata, kerajaan belum membuat keputusan untuk membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah tersebut dan arahan daripada Mahkamah Tinggi Kuching itu masih kekal sebagai undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Belum lagi diputuskan, kena dapat perbincangan mendalam dengan Jabatan Peguam Negara dan mendapat keputusan dasar daripada Jemaah Menteri,” katanya.

Wan Junaidi berkata, antara perkara berbangkit selepas Parlimen meminda Perlembagaan untuk menurunkan umur pengundi dan calon adalah apabila terdapat negeri yang belum membuat pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri bagi melaksanakan pencalonan 18 tahun sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri terbabit.

Beliau berkata perbincangan menyeluruh perlu diadakan antara SPR dan Jabatan Peguam Negara mengenai tindakan yang perlu diambil jika negeri-negeri berkenaan masih tidak bersetuju dengan penurunan umur menjadi calon ADUN. – BERNAMA

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis