SOP, Vaksin Senjata Ekonomi

BeritaSOP, Vaksin Senjata Ekonomi

PANDEMIK Covid-19 memberi impak sangat buruk kepada ekonomi. Ekonomi negara dan juga ekonomi rakyat.

Kedua-dua elemen makro dan mikro tidak terlepas. Tiada apa mampu menghalang kecuali ikhtiar mengurangkan kesannya. 

Pelbagai dasar dan polisi, suntikan demi suntikan kewangan, tetapi selagi wabak terus berleluasa impak negatif akan berterusan. 

Kerana itu kita lihat walau sebesar mana saiz ekonomi sesebuah negara, pasti berdepan kemelut disebabkan Covid-19.

Negara ekonomi gergasi dunia seperti Amerika Syarikat, China mahupun England tidak terlepas dengan cabaran. 

Maka apakah sebuah negara seperti Malaysia yang saiz ekonominya jauh lebih kecil mampu menanganinya? 

Insya-Allah tidak mustahil. Selagi ada iltizam dan kejujuran semua pihak pasti kita dapat mengharunginya dengan jaya. 

Namun strategi terbaik dalam mendepani kekusutan ekonomi disebabkan penangan Covid-19 adalah SOP dan vaksin. 

SOP (Prosedur Operasi Standard) bertujuan membendung penularan wabak itu dan vaksin bertujuan melindungi daripada jangkitan. 

Perkara ini turut diakui menteri bertanggungjawab dalam perihal ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu mengakui vaksin dan SOP bukan sahaja merupakan senjata kesihatan. 

Dua elemen tersebut juga senjata ekonomi dalam melawan Covid-19 yang semakin memburuk.

“Kita berperang dengan COVID-19, senjatanya vaksin dan SOP. Jangan takut vaksin. 

“Di Amerika Syarikat dan England kes turun mendadak kerana ramai sudah divaksin. Patuhi sop, disiplin dan duduk rumah,” kata Mustapa. 

Benar. Jangan kita takut kepada vaksin. Jangan mudah percaya dengan pelbagai anasir buruk berkenaan vaksin. 

Pengambilan vaksin adalah sebagai langkah keselamatan, maka dalam kebanyakan hal perlu berfikiran positif mengenainya. 

Lihat sahaja di sekeliling kita betapa ramai telah mengambil suntikan itu dan tiada perkara buruk terjadi. 

Individu yang tidak disuntik vaksin Covid-19 ada kebarangkalian tinggi dijangkiti virus itu berbanding yang mengambilnya. 

Justeru, segeralah mendaftarkan diri bagi menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). 

Bukan sahaja demi kesejahteraan diri masing-masing, tetapi juga demi melindungi ekonomi negara dan rakyat. 

Jika majoriti kita masih berlengah, maka semakin lambat ekonomi akan memulih dan kesannya akan terus dirasai semua. 

Marilah kita bersama-sama membantu negara dan masyarakat dengan mematuhi SOP serta suntikan vaksin Covid-19. – Mynewshub.TV

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis