SOP Longgar Pergerakan Diumum Selepas Aidiladha

BeritaSOP Longgar Pergerakan Diumum Selepas Aidiladha

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai kelonggaran pergerakan kepada individu melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 dan perniagaan selepas sambutan Aidiladha.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan sedang membincangkan secara terperinci mengenai SOP kebebasan pergerakan terbabit.

“Kita akan beri kelonggaran (individu lengkap dua dos), jawatankuasa teknikal sedang mengkaji secara terperinci siapa boleh bebas gerak dan sektor perniagaan mana dilonggarkan.

“Insya-Allah, perkara ini akan diumumkan selepas raya (Aidiladha),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Mindef (Kementerian Pertahanan) Prihatin, di Wisma Pertahanan, hari ini.

Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidiladha esok.

Kelmarin, media melaporkan kelonggaran bagi individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Pemulihan Negara minggu ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipetik berkata kelonggaran itu bagi memberi faedah atau keistimewaan kepada mereka yang lengkap dos vaksin mereka.

Sehingga semalam, berdasarkan data dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) bersumberkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) , lebih 14 juta individu mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Daripada jumlah itu, lebih 4.5 juta individu melengkapkan dua dos suntikan manakala 9.8 juta selesai mengambil dos pertama suntikan.

Sementara itu, ditanya mengenai individu tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, Ismail Sabri berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

“Perkara ini ditentukan doktor dan KKM. Sebelum tandatangani apa-apa, doktor akan memberi penjelasan. Dia akan bertanya jika ada alahan atau sebab lain yang tak boleh ambil vaksin.

“Sebelum borang ditandatangani, doktor akan jelaskan hal kesihatan misalnya jika positif COVID-19. Berapa bulan selepas itu baru boleh ambil vaksin, doktor yang akan menentukannya,” katanya. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis