Sidang Parlimen Hanya Selepas Pelbagai Syarat Dipenuhi

BeritaSidang Parlimen Hanya Selepas Pelbagai Syarat Dipenuhi

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat boleh diadakan selepas Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat dipenuhi, dan ia mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), menurut pakar perlembagaan.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat antaranya menyatakan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu.

“Peraturan 11 ini juga menyatakan Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri boleh mengubah tarikh persidangan itu dari semasa ke semasa, namun persoalannya adakah Peraturan 11 ini terpakai.

“Pada pandangan saya, ia masih terpakai selagi mana ia tidak dinafikan pemakaiannya oleh Ordinan Darurat,” katanya kepada Bernama, di sini, pada Khamis.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Shamrahayu berpandangan satu perbincangan secara muafakat juga perlu berlaku antara Seri Paduka dan Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis, dalam menetapkan tarikh persidangan Parlimen berkenaan.

Katanya ini kerana berdasarkan Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong manakala Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan Ketua Majlis mempunyai kuasa menentukan dari semasa ke semasa tarikh untuk persidangan Dewan Rakyat.

“Permuafakatan tentang tarikh itu hendaklah juga mendapat perkenan Seri Paduka, barulah sistem kita ini nampak lunak dan boleh memberikan keserasian,” katanya.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata berdasarkan krisis kesihatan ekoran pandemik COVID-19 ketika ini, persidangan Parlimen turut perlu mendapat nasihat daripada KKM dan MKN sebelum ia boleh berlangsung.

“Agensi-agensi ini perlu menasihati kerajaan kerana ia melibatkan soal kesihatan dan keselamatan, dengan persidangan juga tidak boleh dilakukan secara normal apabila ia berlangsung,” katanya.

Sementara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Basirun mencadangkan supaya sesi Parlimen tidak boleh berlangsung secara berterusan dalam tempoh masa lama serta diselang seli dengan proses sanitasi.

“Persidangan secara fizikal boleh diadakan selama 60 hingga 90 minit dan perlu berhenti rehat seketika bagi proses sanitasi sebelum bersambung semula,” katanya sambil menegaskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dua lapis serta penjarakan fizikal mesti sentiasa diamalkan.

Tambahnya, Ahli Parlimen dan petugas juga perlu segera beredar pulang dan mengelak dari bersembang atau berkumpul di luar Dewan bagi mengelak penularan wabak COVID-19. – BERNAMA

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis