Sidang Khas Dewan Rakyat Kecoh

BeritaSidang Khas Dewan Rakyat Kecoh

KUALA LUMPUR – Tidak sampai sejam bersidang, sidang khas Dewan Rakyat hari ini panas dengan pertikaman lidah antara Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan wakil rakyat pembangkang.

Kekecohan itu bermula apabila wakil rakyat pembangkang meminta penjelasan daripada Azhar Azizan berhubung ketiadaan perbahasan, usul dan undian mengenai Proklamasi dan Ordinan Darurat pada sidang khas berkenaan.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) meminta penjelasan Yang Dipertua Dewan Rakyat sama ada sidang khas terbabit selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya sudah tujuh penggal sebagai pembuat dasar di Parlimen ini, bukan sepenggal. Saya nak tahu adakah ini bercanggah dengan titah Yang-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan.

“Seharusnya sidang mesyuarat ini dibenarkan perbahasan, mengemukakan usul dan undian,” katanya.

Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi-PEJUANG) turut menyuarakan perkara sama dan menyifatkan sidang khas terbabit bukan sidang Parlimen seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Katanya, kerajaan tidak menghiraukan supaya Parlimen diadakan secepat mungkin.

“Saya mohon izin nyatakan bahawa majlis ini bukanlah sidang Parlimen seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Rakyat faham dan saya faham bahawa titah diraja supaya Parlimen bersidang secepat mungkin.

“Pertama jelas kerajaan tidak hirau supaya Parlimen diadakan secepat mungkin. Kerajaan tentu sedar bahawa kes COVID-19 meningkat ribuan setiap hari dan yang mati meningkat setiap hari, kes bunuh diri berpuluh, rakyat menderita, tak dapat makan, jiwa tertekan siang dan malam,” katanya.

KS Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) pula bertanya sama ada Azhar Azizan hanya penurut kepada kerajaan kerana tidak membawa perkara mengenai Ordinan dan Proklamasi Darurat dalam Dewan Rakyat.

Keadaan berterusan dengan beberapa wakil rakyat pembangkang lain turut berdiri meminta penjelasan daripada Azhar Azizan.

Bagaimanapun ketika Azhar Azizan mula memberi penjelasan terhadap semua perkara dibangkitkan wakil rakyat pembangkang, kekecohan berlaku sehingga memaksa beliau mengarahkan semua Ahli Parlimen supaya duduk dan diam.

“Kamu bawa Peraturan Mesyuarat tetapi kamu sendiri tak ikut Peraturan Mesyuarat. Kalau saya bercakap, semua kena diam.

“Oleh kerana Yang Berhormat semua tak nak dengar apa yang saya nak cakap, saya nak beritahu bahawa saya tidak bersetuju dengan apa Yang Berhormat semua cakap tadi,” katanya. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis