Semak semula syarat i-Sinar

EkonomiSemak semula syarat i-Sinar

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak membeban dan menyusahkan pencarum yang ingin mengeluarkan simpanan mereka melalui i-Sinar.

Presidennya, Datuk Moha­med Shafie BP Mammal berkata, pihaknya mahu KWSP menye­mak semula syarat dan prosedur yang tidak logik sama sekali dan mengumumkan pendekatan lebih fleksibel serta memudahkan cara para pencarum yang mahu mengeluarkan simpanan mereka.

Beliau berkata, pihaknya kecewa kerana prosedur pengeluaran i-Sinar dikeluarkan KWSP telah menimbulkan pelbagai persoalan dan kesulitan kepada pencarum yang ingin mengeluarkan wang tersebut ketika mereka sudah pun dihimpit oleh situasi sukar pada masa sekarang.

Katanya, semasa penggulu­ngan ucapan Belanjawan 2021, 26 November lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa kira-kira lapan juta ahli KWSP iaitu mereka yang kesan dengan pandemik Covid-19 boleh mengeluarkan wang simpanan, tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan atau pendapatan berkurangan tahun ini, layak memohon pengeluaran daripada Akuan 1.

“Kenyataan dan jaminan yang diberikan oleh menteri kewangan itu telah disambut baik oleh pencarum-pencarum dan meletakkan harapan agar kerajaan mempermudahkan pengeluaran simpanan mereka.

“Pencarum-pencarum berpendapat ini satu daripada sumber yang boleh membantu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dalam meneruskan kehidupan mereka.

“Malangnya, kenyataan media yang dikeluarkan oleh KWSP baru-baru ini amat mengecewakan pencarum-pencarum kerana KWSP meletakkan pelbagai syarat serta menyulitkan proses pengeluaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohamed Shafie berkata, UNI-MLC menyokong kenyata­an Tengku Zafrul (di Parlimen) dan berharap beliau menasihati pengurusan KWSP supaya lebih proaktif dan mempunyai jiwa untuk membantu pencarum-pencarum.

“Jangan ada double standard di mana keputusan di Parlimen mengatakan lain manakala cara pelaksanaan oleh KWSP pula lain.
“Sepatutnya di waktu pandemik Covid-19, KWSP perlu lebih proaktif dan telus mencari kaedah yang terbaik yang mana boleh membantu pencarum-pencarum dengan mengurangkan birokrasi yang boleh membebankan mereka,” katanya. – UTUSAN

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis