“Saya Tidak Akan Membelakangi Sumpah Jawatan Saya” – PM

Berita“Saya Tidak Akan Membelakangi Sumpah Jawatan Saya” – PM

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan ketika ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

Katanya, begitu juga bantuan yang sudah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.

“Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya barisan hadapan, supaya terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh.

“Saya tahu mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.

“Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah,” katanya dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung melalui beberapa stesen televisyen di sini, hari ini.

Beliau turut memohon maaf kepada rakyat kerana terpaksa menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan cabaran besar menangani pandemik Covid-19.

“Saya juga dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

“Saya doakan supaya rakyat dan negara kita terus dilindungi oleh Allah SWT dan kepada-Nya jualah kita berserah,” katanya. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis