Ramai nak Aleesya jadi pelakon, tapi…

Gaya HidupRamai nak Aleesya jadi pelakon, tapi…

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira, 47, mengakui anak tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran, 11, memang ada mendapat permintaan untuk terbabit dalam kerjaya seni termasuk berlakon iklan.

Bagaimanapun, Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek berkata dia kena terlebih dulu berbincang dengan bekas suami  bagi mendapatkan kata sepakat seterusnya ‘lampu hijau’ sebagai kebenaran.

“Permintaan tawaran untuk Aleesya beraksi di hadapan kamera memang ada saja diterima. Ada yang berminat nak dia muncul buat iklan. Tapi, saya tak boleh buat keputusan itu sendiri tanpa berbincang dan mendapat ‘lampu hijau’ daripada bapanya.

“Sekarang, selagi Aleesya belum boleh buat keputusan sendiri, saya tidak akan membawa dia ke depan lagi. Biarlah dia yang menentukan apa minat dan kesukaannya, manakala saya akan menyokong saja,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut ‘primadona’ filem Melayu ini, dia tidak akan menyekat apa saja kerjaya diminati anak perempuan kesayangannya itu pada masa akan datang, meskipun mengikut jejak sebagai anak seni suatu hari nanti.

“Sebagai ibu moden yang berkerjaya, saya sejujurnya lebih selesa menyokong segala minat anak dan tidak meletakkan kerjaya tertentu untuk dipilihnya. Bagi saya, dia berhak buat keputusan mengikut apa minat dan kesukaannya.

“Untuk Aleesya, saya akan sokong semua yang dia minat dan tidak akan mengawalnya. Begitu juga jika dia berminat menceburi kerjaya seni suatu hari nanti, saya tidak akan menghalang tetapi memantau saja.

“Apapun setiap keputusan membabitkan Aleesya sekarang, saya dan bapanya kena berbincang dan mendapat kata sepakat. Sekiranya pihak sana (bekas suami) okey dan beri ‘lampu hijau, saya tiada masalah,” katanya lagi.

Terdahulu, Erra hadir pada majlis sidang media virtual di Google Meet drama Gerak Khas Undercover terbitan Skop Production yang akan ditayangkan TV3, mulai Jumaat ini, jam 10.30 malam.

Mengulas pembabitan untuk drama Gerak Khas Undercover, Erra berkata dia berterima kasih dengan Skop Production kerana masih mengekalkannya untuk beraksi bersama barisan pelakon lain yang rata-rata watak baharu.

“Saya melakonkan watak sebagai Deputi Superintendan (DSP) Jeslina yang banyak bertugas di pejabat saja. Dalam drama kali ini, saya masih belum terbabit dengan penggambaran di lapangan membuat ‘undercover’.

“Apa yang pasti, saya berharap penonton akan memberikan sambutan yang baik terhadap drama ini kerana jalan ceritanya sangat berbeza. Kena tonton dulu tayangannya pada Jumaat ini,” katanya.

Selain Erra, drama Gerak Khas Undercover membariskan pelakon seperti Erra Fazira, Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Salina Saibi, Raja Afiq dan ramai lagi.

Harian Metro

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis