Ramai Gagal Hadir Janji Temu Suntikan Vaksin

BeritaRamai Gagal Hadir Janji Temu Suntikan Vaksin

KUALA LUMPUR – Sebelum ini, perjalanan negara untuk mencapai imuniti berkelompok sebelum penghujung tahun ini hanya berdepan masalah keengganan sebahagian masyarakat mendaftar bagi menerima suntikan vaksin Covid-19, namun kini halangan baharu pula timbul apabila ramai yang tidak hadir janji temu masing-masing. 

Hampir setiap negeri merekodkan masalah ini dan jumlahnya bukan sedikit tetapi mencapai ribuan janji temu di setiap negeri seperti yang disahkan pengarah kesihatan negeri masing-masing.

Di Pahang, kira-kira 10,000 individu disahkan gagal menghadiri janji temu tersebut, manakala di Melaka mencatatkan 3,934 individu dan Johor (14,144).

Turut dilaporkan sebelum ini hampir 10,000 penduduk di Kelantan gagal hadir menerima suntikan vaksin, lebih 3,000 di Perlis, kira-kira 6,200 di Negeri Sembilan, seramai 10,827 individu di Kedah dan dianggarkan lebih 9,000 penduduk di Perak. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata antara alasan yang diberikan ialah tidak mengetahui tarikh janji temu, tidak sihat, berada di luar kawasan, tiada kenderaan dan ada segelintir yang enggan divaksin.

“Kalau tidak dapat datang pada hari yang ditetapkan, nama masih ada dan mereka masih lagi boleh menerima suntikan vaksin. Tetapi saya sarankan agar semua mematuhi janji temu bagi memudahkan urusan pemberian vaksin secara berfasa ini,” katanya. 

Suntikan vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kini dalam fasa kedua dengan keutamaan diberikan kepada warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik.

Program berkenaan dibuat dalam tiga fasa yang mana fasa pertama mengutamakan petugas barisan hadapan dan fasa terakhir akan dibuka kepada semua penduduk Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas.

Sementara itu di Johor, alasan sama turut diterima dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Aman Rabu berkata kes mereka yang enggan disuntik itu kebanyakannya didaftarkan oleh anak-anak atau pendaftaran tanggungan.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah pula berkata sikap tunggu dan lihat serta mahu berbincang dengan anak-anak dikenal pasti menjadi punca warga emas tidak hadir janji temu vaksinasi.

“Kita berharap anak-anak dan mereka yang terdekat dengan warga emas untuk bantu memberi penerangan mengenai keperluan mengambil vaksin kerana tidak mahu keadaan sudah terlewat disebabkan sikap tunggu dan lihat. 

“Anak-anak juga seharusnya tegas dalam isu ini kerana mereka lebih faham akan kebaikan vaksin… dapatkan persetujuan mereka dan daftarkan mereka untuk terima vaksin selain pastikan mereka boleh ke PPV,” katanya. 

Dr Bahari berkata bagi mengelakkan dos vaksin dibazirkan oleh ketidakhadiran penerima vaksin yang dijadualkan, pihaknya terpaksa memanggil mereka dalam senarai menunggu membabitkan individu berumur dan pesakit komorbid. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata kementeriannya menimbang kemungkinan mengenakan kompaun atau penalti kepada individu yang gagal hadir janji temu untuk vaksinasi Covid-19.

Beliau berkata tindakan tegas itu akan diusulkan dalam perbincangan pihak Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Covid-19 (JKJAV) tidak lama lagi. – BERNAMA

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis