Rakyat Perlukan Moratorium Automatik

BeritaRakyat Perlukan Moratorium Automatik

MORATORIUM automatik harapan terbesar rakyat bagi membantu mereka menghadapi PKP 3.0 yang dilanjutkan sehingga 28 Jun 2021.

Rakyat bukan mengada-ngada. Ramai terdesak perlu mendapat penangguhan bayaran ansuran pembiayaan dengan pihak bank.

Hampir setiap peringkat anggota masyarakat terutama mereka yang berpendapatan harian sedang terjejas.

Daripada pengusaha restoran sehingga kepada pemandu teksi dan e-hailing. Rata-rata pendapatan mereka semakin berkurangan.

Malah golongan berpendapatan 40 peratus sederhana (M40) turut terkesan dan mungkin ramai telah pun turun kepada kategori B40.

Keadaan semasa ekonomi rakyat itu turut diakui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini.

Menurut Dato’ Pa, ramai individu M40 termasuk usahawan dan profesional semakin tertekan untuk mendapatkan bantuan ketika ini.

Sebagai pemimpin berjiwa rakyat beliau tanpa berselindung menyatakan kebanyakan perniagaan tiada lagi simpanan tunai.

“Sudah pasti yang terbaik ialah moratorium automatik, tidak membabitkan kerenah birokrasi.

“Saya berharap bank akan cuba membantu golongan terkesan (yang tidak mendapat moratorium secara automatik) dan yang patut ditolong ini,” katanya.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata demikian ketika ditemuramah dalam rancangan Bicara Politikonomi – ‘Lockdown dan Ekonomi Negara’.

Meskipun Dato’ Pa tidaklah kelihatan terlalu mahu menekan bank, beliau namun menyarankan bank mencari kaedah lebih tuntas dalam memberikan pencerahan mengenai moratorium.

Tegas beliau, ramai mengharapkan moratorium menyeluruh seperti tahun lalu dan bagi perniagaan kecil dan sederhana serta mikro, tiada masalah untuk dapatkan moratorium pada waktu ini.

Tambahnya, golongan M40 yang terkesan seperti mengalami kekurangan pendapatan masih boleh memohon dan bank sudah beri jaminan ia boleh diluluskan.

Bagaimanapun, katanya, pihak bank diharap terus berbincang dan mencari kemajuan dalam perkara itu.

“Mungkin Bank Negara Malaysia boleh menjadi orang tengah mencari jalan bagaimana dapat memberi pencerahan supaya isu ini boleh ditangani sewajarnya.

“Mungkin boleh sediakan talian bantuan khusus atau ‘helpdesk’ bagi kes tertentu,” katanya.

Itu antara pandangan bernas dariapada sisi seorang menteri yang menjaga hal ehwal ekonomi negara.

Walau apa pun penulis berpendapat moratorium bersasar dan kelulusan automatik wajar diberikan kepada semua peminjam terjejas akibat sekatan pergerakan penuh.

Tanpa perlu mengambil kira mengira pendapatan, termasuk golongan berpendapatan 40 peratus sederhana (M40).

Ramai percaya bank mampu memberi moratorium automatik menyeluruh kerana tetap mencatat keuntungan semasa pandemik.

Ini merupakan obligasi sosial yang perlu dipikul bank membantu rakyat dalam keadaan sukar ketika ini kerana pada waktu senang rakyat yang membantu bank membuat keuntungan. – Mynewshub.TV

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis