Pulau Batu Puteh: Johor Mahu Tindakan Undang-Undang Segera

BeritaPulau Batu Puteh: Johor Mahu Tindakan Undang-Undang Segera

JOHOR BAHRU: Johor bersetuju untuk memberikan sokongan penuh tentang tindakan undang-undang di bawah ‘tort of misfeasance’ ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri juga mahu supaya perkara itu disegerakan agar mereka yang bertanggungjawab dibawa segera ke muka pengadilan.

Katanya berdasarkan dapatan daripada hasil siasatan itu kelak, Kerajaan Negeri juga bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“Alhamdulillah, mesyuarat mingguan Jemaah Menteri pada 8 Oktober lalu bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa khas, antaranya bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

“Johor amat mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri itu.

“Isu tuntutan Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura sememangnya amat dekat dengan Kerajaan dan rakyat Johor, sama ada dari segi sejarah mahupun kedudukannya kerana hampir dengan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Hasni, kerajaan negeri akan memberi jaminan akan memberikan kerjasama dan membantu Kerajaan Persekutuan dalam usaha mendapatkan pelbagai dokumen dan pandangan yang diperlukan.

“Johor amat berharap jawatankuasa khas yang ditubuhkan ini dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dan mendoakan semoga usaha tersebut dipermudahkan dan dikurniakan kejayaan,” katanya.

Jemaah Menteri pada Jumaat bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Menerusi kenyataan Perdana Menteri pada Sabtu, penubuhan itu bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Pada 2018, kerajaan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

IKUTI FACEBOOK MYNEWSHUB DI SINI 

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis