Program Vaksinasi Remaja 12 Hingga 17 Tahun Diluluskan

BeritaProgram Vaksinasi Remaja 12 Hingga 17 Tahun Diluluskan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan untuk memperluaskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun PICK untuk remaja itu dibahagikan kepada dua golongan iaitu kepada individu berusia 12 hingga 15 tahun yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.

“Serta semua individu berusia 16 dan 17 tahun dengan atau tanpa mempunyai masalah kesihatan tertentu. Bagaimanapun implementasi bergantung kepada bekalan vaksin,” katanya dalam surat pekeliling yang bertarikh 12 Ogos.

Dr Noor Hisham berkata remaja yang mempunyai masalah kesihatan tertentu perlu menjalani penilaian pra-vaksinasi oleh pegawai atau pakar perubatan.

“Penilaian dibuat berdasarkan status kesihatan semasa, sejarah perubatan, sejarah alergik serta rawatan atau ubatan yang sedang diterima.

“Tidak semua bakal penerima vaksin akan melalui pra penilaian ini, hanya tiga kategori sahaja yang perlu menjalani penilaian.

“Iaitu individu yang mempunyai sejarah alahan yang teruk, individu yang mengalami kelemahan sistem imun disebabkan oleh penyakit atau rawatan diterima serta individu yang menerima rawatan ubat pencair darah atau mempunyai masalah kesihatan sehingga menyebabkan kecenderungan mengalami pendarahan,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan keselamatan remaja yang mempunyai masalah kesihatan tertentu terjamin, mereka yang dinilai sebagai berisiko ini akan menerima vaksin di hospital atau institusiperubatan.

“Ini bagi membolehkan rawatan kecemasan serta rawatan lanjut dapat diberikan dengan kadar segera sekiranya perlu.

“Golongan yang dimaksudkan ialah tiga kategori yang perlu menjalani Penilaian Pra-Vaksinasi dan pesakit yang menerima rawatan jangka panjang di hospital atau institusi perubatan atau pesakit tertentu yang dirasakan perlu oleh pengamal perubatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja selepas mengambil kira data dan pandangan penilaian calon vaksin. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis