Polis siasat lelaki mati ketika dalam siasatan

BeritaPolis siasat lelaki mati ketika dalam siasatan

KOTA BHARU : Polis Kontinjen Kelantan akan menjalankan siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) berusia 23 tahun, Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata lelaki itu yang juga OKT dalam siasatan kes kecurian kenderaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan meninggal dunia pada jam 2.30 petang.

Katanya, ketika proses rakaman percakapan dan dokumentasi dijalankan di Pejabat Cawangan Bantuan Teknikal Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kelantan, di sini, mangsa dilihat dalam keadaan bergetar dan mulut berbuih.

“Pegawai dan anggota yang dalam proses rakaman percakapan bertindak segera dengan mengejarkan lelaki itu ke HRPZ II bagi mendapatkan rawatan dan menyelamatkan mangsa yang berada dalam keadaan menggigil serta tidak sedarkan diri.

“Bagaimanapun, selepas bantuan diberikan, pegawai perubatan bertugas mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Shafien berkata, siasatan awal dibuat berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, pakar forensik HRPZ II menjalankan bedah siasat pada hari sama, namun tidak dapat mengesahkan punca sebenar kematian mangsa.

“Pakar hanya memutuskan keputusan awal punca kematian mangsa sebagai ‘unascertained’ dan punca kematian selanjutnya bergantung kepada laporan analisa serta ujian makmal dilakukan pihak patalogi.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan akan menjalankan siasatan secara telus dan percaya laporan analisa serta ujian makmal HRPZ II akan membantu siasatan dan memutuskan punca sebenar kematian mangsa.

“Justeru, saya menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi dan andaian berhubung kejadian ini,” katanya.

-Berita Harian

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis