Polis sahkan petugas Ikram maut dijerut, jalankan siasatan

NasionalPolis sahkan petugas Ikram maut dijerut, jalankan siasatan

Seorang petugas wanita badan bukan kerajaan (NGO) ditemukan mati dengan kesan jerut di leher di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang, kira-kira 30 kilometer dari sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata mangsa dikenali Nik Khatijah Nik Mud, 32, ditemukan seorang lelaki yang juga merupakan rakan sekerjanya yang pergi ke rumah mangsa pada jam 9 pagi tadi sebelum menghubungi polis.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal pada mayat wanita itu, mendapati terdapat kesan jerut pada bahagian leher mangsa dan dipercayai dibunuh lebih daripada 24 jam sebelum ditemukan.

“Polis mengklasifikasikan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta tampil memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat ASP Ismail Ahmad di talian 019-2306107 atau menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, NGO berkenaan, Pertubuhan Ikram Muda Malaysia, dalam kenyataan di laman rasmi Facebooknya, menyatakan mangsa merupakan Pengurus Jabatan Advokasi.

“Pemergian seorang kakitangan Pertubuhan Ikram Muda Malaysia, Allahyarhamah Nik Khatijah telah meninggal dunia di Kajang, Selangor.

“Takziah kami ucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarhamah, saudara-mara, sahabat handai dan seluruh kakitangan ibu pejabat Ikram. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para mukmin,” menurut kenyataan itu. ― Bernama

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis