PM Cadang Persefahaman Rentas Parti, Atasi Kemelut Politik

BeritaPM Cadang Persefahaman Rentas Parti, Atasi Kemelut Politik

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan cadangan untuk melaksanakan persefahaman rentas parti sekiranya mendapat sokongan semasa usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dilakukan.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal saja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

“Tujuan saya kemukakan cadangan ini ialah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

“Pada masa yang sama, saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera. Maka, saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan ini pada minggu hadapan. Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini. Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini,” katanya pada ucapan khas petang tadi.

Muhyiddin berkata, sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan itu dipersetujui, beliau akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini. Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara,” katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang manusia, beliau tidak terhindar daripada kelemahan dan kekurangan apatah lagi dalam keadaan sebagai Perdana Menteri yang memikul suatu tanggungjawab berat untuk mengurus pandemik yang luar biasa ini sejak lebih setahun yang lalu.

“Pastinya, saya memerlukan sokongan dan dokongan daripada rakan-rakan saya dalam Kabinet, pimpinan kerajaan negeri, pegawai-pegawai kerajaan, frontliners dan rakyat seluruhnya untuk membolehkan saya melaksanakan tanggungjawab membawa negara ini keluar daripada krisis.

“Tidak kurang pentingnya ialah sokongan rakan-rakan Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional yang mana dengan sokongan merekalah saya berada di sini pada hari ini. Keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan oleh sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

“Namun malangnya dalam keadaan saya dan rakan-rakan dalam Kabinet berhempas pulas mengurus pandemik, beberapa Ahli Parlimen telah menarik sokongan kepada saya. Ini menimbulkan keraguan mengenai keabsahan saya sebagai Perdana Menteri dan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah,” katanya.

Muhyiddin berkata, dalam keadaan ini, beliau mempunyai dua pilihan menurut Perlembagaan Persekutuan. 

“Saya boleh memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya atau meletak jawatan.

“Pilihan saya yang paling mudah ialah meletak jawatan. Jika saya mengambil keputusan ini, maka selesailah urusan saya dan terserahlah kepada kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri yang baharu. 

“Menurut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku boleh melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, namun, sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

“Jika saya meletak jawatan pada masa ini, bukan saya seorang saja yang berhenti menjadi Perdana Menteri. Menurut Perlembagaan Persekutuan, saya hendaklah meletakkan jawatan seluruh anggota Jemaah Menteri. Ini bermakna Kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh.

“Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan. Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka Kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk.

“Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual?

“Sedangkan tempoh dua bulan akan datang adalah amat genting. Jika semua perancangan kerajaan dapat dilaksanakan seperti yang dijadualkan, kita akan mencapai imuniti kelompok pada Oktober. Sekiranya terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya,” katanya. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis