PKPB: Tangani pengurusan masa, emosi pelajar

EditorialPKPB: Tangani pengurusan masa, emosi pelajar

SELALUNYA seawal 7 pagi, murid sampai di sekolah. Mereka akan mengimbas suhu dan merekodkan bacaan sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan sementara guru bertugas serta pengawas siap sedia menanti dan menyambut kehadiran murid.

Ketika di sekolah, mereka berinteraksi bersama rakan sekelas dan guru. Jika ada keperluan, guru bimbingan dan kaunseling akan membantu. Tepat pukul 1.20 petang, mereka pulang.

Kini, semuanya lenyap dari pandangan.

Persoalannya kini, bagaimana mereka menguruskan emosi dan masa dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melalui pembelajaran di rumah.

Emosi dan masa merupakan dua perkara penting dalam pembangunan psikososial pelajar. Mereka memerlukan interaksi yang jelas dengan suasana pembelajaran di bilik darjah melalui bimbingan guru.

Realitinya, peranan guru dan ibu bapa sangat penting ketika ini. Peka dan prihatin amat dituntut di saat pelajar memerlukan perhatian dan pada waktu sama perlu fokus terhadap pembelajaran khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pendidik perlu sentiasa berhubung melalui pelbagai medium seperti grup WhatsApp mahupun dalam pembelajaran maya selain mewujudkan suasana saling mengambil tahu dan memberikan bahan pembelajaran bermakna dengan kandungan yang mudah difahami.

Kekerapan guru dan pelajar berinteraksi dapat mengurangkan kadar kerisauan dan kebimbangan.

Pada masa sama, ibu bapa atau penjaga wajar memberi ruang waktu yang kondusif ketika sesi pembelajaran anak-anak di rumah dengan mengurangkan elemen gangguan dan memberikan sokongan moral berterusan sebagai wadah motivasi.

Namun, terdapat kekangan yang wujud ketika pembelajaran di rumah kerana beberapa faktor luar kawalan seperti kemudahan dan kemampuan pelajar untuk mendapatkan akses internet yang baik.

Inilah cabaran yang harus difikirkan oleh guru untuk menyampaikan bahan pembelajaran secara terus dan sampai kepada kumpulan sasar.

Kerjasama penjaga untuk memantau amat dituntut. Komunikasi pelajar, guru dan penjaga mestilah senada dan seirama bagi menentukan proses pembelajaran tidak terbantut.

Secara tidak langsung, kawalan masa dapat diurus dengan baik dan emosi pelajar sentiasa segar dengan budaya hidup sihat tanpa ada gangguan yang merumitkan.

TUMIN YATMAN
Pengetua Cemerlang
SMK Seri Machap, Johor

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis