Perlis, Sarawak Dan Labuan Beralih Ke Fasa 3 PPN Mulai Rabu

BeritaPerlis, Sarawak Dan Labuan Beralih Ke Fasa 3 PPN Mulai Rabu

PUTRAJAYA – Perlis, Sarawak dan Labuan akan beralih kepada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Rabu ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan. Suka untuk saya mengingatkan agar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi serta semua usaha untuk menambah baik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan,” katanya.

Fasa 3 PPN menyaksikan aktiviti rentas daerah dibenarkan, makan di restoran dibenarkan terhad kepada dua pelanggan di satu meja, aktiviti pelancongan dibuka serta beberapa kelonggaran lain.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan beliau pada Isnin telah memperincikan kemudahan bakal dinikmati oleh individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Insya-ALLAH, kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat,” jelas beliau.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan kemudahan yang bakal dinikmati sektor swasta.

“Perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan,” katanya.

Tambah Muhyiddin, strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan PPN dapat dijalankan dengan lancar.

“Lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai yang terlindung. Ia juga akan mengurangkan tekanan dan beban kepada sistem kesihatan negara serta sektor ekonomi dan sosial boleh dibuka dengan selamat,” katanya.

Menurut beliau, pada mesyuarat tersebut, Menteri Penyelaras PPN, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah membentangkan perkembangan pelaksanaan pelan berkenaan. – Sinar Harian

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis