Pendapatan 580,000 Golongan M40 Turun Kepada B40

BeritaPendapatan 580,000 Golongan M40 Turun Kepada B40

KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 kini beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata angka itu adalah berdasarkan laporan anggaran pendapatan isi Rumah dan Insiden Kemiskinan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Sebanyak 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Natrah Ismail (PH-Sekijang) yang menyatakan sama ada kerajaan berhasrat untuk menilai semula had pendapatan garis kemiskinan pada 2020 kerana ketetapan ini tidak selari dengan kadar pengangguran negara dan golongan B40 yang semakin meningkat.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mengemaskini Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) pada tahun depan serentak dengan Kajian Pendapatan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) 2022.

Beliau berkata, buat masa ini PGK terkini yang digunakan pakai adalah pada tahun 2019 dengan purata nasionalnya ialah sebanyak RM2,208 sebulan.

“PGK adalah berdasarkan jumlah pendapatan yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan minimum makanan dan bukan makanan untuk hidup sihat dan aktif dalam masyarakat.

“Berdasarkan metodologi PGK 2019, PGK nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan, berbanding dengan PGK 2016 yang mengguna pakai metodologi 2005 iaitu RM980 sebulan,” katanya menjawab soalan S Kesavan (PH-Sungai Siput).

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, insiden kemiskinan mutlak meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun lalu ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding 5.6 peratus pada 2019.

Katanya, dapatan itu merangkumi simulasi kepada data daripada HIES & BA 2019 dan profil isi rumah 2019 yang kemudian disesuaikan dengan corak taburan isi rumah 2020.

Beliau berkata, konsep PGK makanan berubah daripada keperluan minimum kalori kepada keperluan optimum minimum yang menunjukkan peningkatan kualiti barangan (item) bakul makanan.

“Bagi PGK bukan makanan pula, keperluan kumpulan B20 bertambah dari 106 kepada 146 barangan dan mengambil kira perubahan pola perbelanjaan isi rumah, harga barangan dan perkhidmatan semasa.

“Oleh yang demikian, penetapan PGK, kadar pengangguran dan jumlah bilangan B40 adalah menggunakan metodologi yang berbeza tetapi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan kadar pengangguran akan menyebabkan pendapatan isi rumah miskin dan pendapatan B40 berkurangan seterusnya meningkatkan bilangan isi rumah yang berada di bawah PGK.

Sementara itu dalam jawapan berasingan, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang memuktamadkan kaedah dan jumlah pembayaran kepada syarikat pembangun sistem dan aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, penilaian bagi kaedah itu antaranya diterajui Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Kementerian Kesihatan, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

“Aplikasi MySejahtera bermula sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan tamat tempoh CSR yang diberikan selama setahun iaitu pada 31 Mac lalu.

“Sehingga kini tiada bayaran yang dibuat oleh kerajaan kepada syarikat pembangun sistem itu namun kita memutuskan untuk membuat pembayaran bermula 1 April lalu,” katanya. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis