Pelitup muka membunuh?

EditorialPelitup muka membunuh?

SAUDARA PENGARANG,

PEMAKAIAN pelitup muka menjadi kewajipan semua penduduk dunia sejak bermula pandemik Covid-19. Ia berfungsi sebagai pelindung kepada diri sendiri dan orang lain daripada virus yang boleh membawa maut.

Namun, pelitup muka yang sepatutnya menjadi pelindung kepada virus tidak berfungsi seperti sepatutnya. Ramai yang menggunakan pelitup muka dengan bahan tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Sebaliknya, mereka menggunakan pelitup muka dengan pelbagai material tidak selamat bagi melindungi muka. Pemilihan material yang salah ini sangat membahayakan pengguna.

Terdapat tiga ciri pelitup muka yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang perlu dipatuhi. Pertama, lapisan dalam berfungsi menyerap titisan cecair seperti kain daripada kapas atau campuran kapas.

Kedua, lapisan tengah bersifat menghindar penyerapan air dan diperbuat daripada bahan sintetik bukan tenunan seperti polipropilena atau lapisan kapas. Ini penting untuk meningkatkan penapisan atau menyerap titisan cecair.

Ketiga, lapisan luar perlu bersifat menghindar penyerapan air seperti polipropilena, poliester atau campuran kedua-duanya. Fungsinya adalah untuk mengehadkan pencemaran dari luar menembus masuk ke hidung dan mulut pemakai.

Dan pada itu, persoalannya adakah pelitup muka yang dipakai orang ramai sekarang menepati ciri-ciri terbabit. Ini kerana dalam media sosial dan kedai-kedai, peniaga dilihat begitu rakus mengambil kesempatan dengan menjual pelitup muka tidak berkualiti dan hanya mementingkan gaya semata-mata. Pelitup muka yang mempunyai pelbagai corak dan material tidak selamat dijual berleluasa.

Sebagai contoh, pernah berlaku semasa awal pandemik, banyak pelitup muka yang dipulangkan ke China oleh beberapa buah negara luar kerana didapati tidak berkualiti. Situasi ini sangat menyedihkan kerana pengguna pelitup muka tersebut turut melibatkan petugas barisan hadapan, pesakit, warga emas dan kanak-kanak.

Diharapkan pihak berkuasa dapat merampas pelitup muka tidak berkualiti termasuk yang dijual dalam talian sebagai pengajaran kepada pihak-pihak yang hanya mementingkan faktor keuntungan semata-mata.

Iklan peniaga dengan menayangkan pelitup muka yang cantik tanpa menitikberatkan keselamatan adalah sangat menjengkelkan. Pengguna akan mudah tertarik pada rekaan tanpa berfikir panjang dan seterusnya ditipu.

Demi harga sebuah gaya, ada dalam kalangan kita tidak peduli pun dengan aspek keselamatan. Malah, penjual dan pengguna dilihat berbangga pula menayangkan pelitup muka tidak berkualiti tersebut kepada umum.

Bukan tidak boleh bergaya langsung tetapi ingatlah niat utama kita menggunakan pelitup muka. Pilihlah secara bijak dan teliti kerana standard keselamatan adalah nombor satu dan tidak boleh dikompromi dengan gaya. Ingatlah, gaya tidak boleh membeli nyawa, tetapi individu bernyawa pasti boleh bergaya. Maka, utamakanlah nyawa terlebih dahulu.

DR. MOHD EFFENDI @ EWAN MOHD. MATORE
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis