NovelPlus Catat Premium 10 Sen Diawal Dagangannya

BeritaNovelPlus Catat Premium 10 Sen Diawal Dagangannya

KUALA LUMPUR – NovelPlus Technology Bhd (NTB atau Kumpulan), berjaya meraih premium 10 sen di awal
dagangan sahamnya hari ini.

NTB yang disenaraikan di Pasaran Leap Bursa Malaysia merupakan pengendali dan pembangun platform menulis dan membaca secara dalam talian sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif NTB, Crystal Lai berkata, Kumpulan memiliki pelbagai bacaan e-buku yang merangkumi lebih 37,000 novel dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia yang telah diterbitkan dengan ekosistem lebih 2.1 juta pengguna.

Sebanyak 10,000 adalah berdaftar sebagai penulis dan bakinya para pembaca.

Beliau berkata, platform ini beroperasi di bawah jenama NovelPlus, dengan kandungan diakses menerusi aplikasi mudah alih dan pelayar web Kumpulan.

“NovelPlus beroperasi menggunakan model freemium di mana pembaca boleh mengakses platform ini secara percuma atau membayar yuran langganan bagi menikmati pengalaman membaca tanpa iklan,” katanya di sini hari ini.

TA Securities Holdings Berhad merupakan penasihat, agen penempatan dan penempatan berterusan sah bagi pelaksanaan penyenaraian ini.

Lai berkata, apa yang ditawarkan oleh NTP ialah sebuah platform yang membolehkan pembaca melayari dan memilih e-buku, mengatursusun pengalaman mereka dan menguruskan profil mereka serta berinteraksi dengan penulis yang berdaftar di platform.

Manakala bagi penulis pula, platform NovelPlus membolehkan mereka menulis, menyunting dan menyiarkan sendiri novel bersiri mereka, menubuhkan komuniti pembaca mereka dan menerima ulasan serta penghargaan daripada pembaca.

“Pengiklan juga boleh mengiklan di aplikasi mudah alih dan pelayar web NoveplPlus. Iklan akan disasarkan kepada pengguna yang tidak berlanggan,” ujarnya lagi.

Lai menambah, Kumpulan kini berada di kedudukan lebih baik untuk memfokus kepada perluasan perniagaan baharu dan memburu peluang pertumbuhan masa hadapan selepas berjaya disenaraikan.

“Kami berterusan melakukan inovasi dan berubah demi keperluan para pengguna kami. Ini adalah permulaan evolusi bagi NovelPlus dan kami akan terus melakukan penambahbaikan yang memenuhi keperluan pengguna kami.”

Kumpulan merancang memasukkan kandungan perpustakaannya yang semakin membesar dengan e-buku yang diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia kini, dengan novel bahasa-bahasa lain di Asia Tenggara, di mana e-buku telah menyaksikan pertumbuhan sihat daripada AS$308.1 juta (RM1.3 bilion) pada 2016 menjadi AS$382.9 juta (RM1.6 bilion) pada 2019, iaitu kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (“CAGR”) sebanyak 7.5 peratus

Melangkah ke hadapan, saiz pasaran e-buku mungkin mencatat CAGR sebanyak 6.4 peratus antara tahun 2020 dan 2022, untuk mencapai AS$461.0 juta (RM1.9 bilion).

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis