‘Nasi Ganja’ Ipoh Naik Helikopter Ke KL

Berita‘Nasi Ganja’ Ipoh Naik Helikopter Ke KL

IPOH – Orang ramai ‘terkejut’ dengan kemunculan helikopter mendarat di Padang Ipoh, pagi tadi, dipercayai untuk mengambil tempahan nasi kandar daripada sebuah restoran terkemuka di bandar raya ini.

Terdapat dua individu dalam helikopter berkenaan dipercayai milik syarikat swasta, ‘ditugaskan’ untuk mengambil tempahan nasi kandar yang dikenali sebagai nasi ganja.

Difahamkan, helikopter mendarat di Padang Ipoh, di sini untuk mengambil 36 bungkusan nasi ganja yang ditempah oleh pelanggan dari Kuala Lumpur.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, mengesahkan kejadian itu berkata, pemeriksaan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendapati helikopter berkenaan hanya diberi kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

Sebaliknya, beliau berkata, helikopter berkenaan mendarat di Padang Ipoh antara jam 9.50 pagi dan 10.15 pagi untuk mengambil tempahan nasi ganja.

“Helikopter berkenaan tidak diberi kebenaran mendarat di Padang Ipoh, di sini. Kita sudah maklumkan kepada CAAM mengenai kejadian ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, seorang jurucakap restoran nasi ganja yang enggan namanya dikenali mengesahkan ada menerima 36 bungkusan nasi berlauk ayam, daging dan telur masin daripada pelanggan di Kuala Lumpur.

Pada mulanya, beliau meragui pesanan yang dibuat dengan menganggapnya sebagai jenaka kerana ia akan diambil menggunakan helikopter.

“Saya juga ragu-ragu kerana tidak pernah lagi pelanggan ambil pesanan dengan helikopter tetapi betul jadinya.

“Ini adalah kali pertama pesanan diambil pelanggan dengan menaiki helikopter. Ia macam pesanan mewah yang saya pernah terima tetapi harga setiap bungkusan nasi masih sama iaitu RM10,” katanya. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis