‘Nak bantuan? Hubungi The Hope Branch’ – Harith Iskander

Gaya Hidup‘Nak bantuan? Hubungi The Hope Branch’ – Harith Iskander

Kuala Lumpur: Pelawak dan pelakon, Harith Iskander menyeru masyarakat supaya bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan menyokong gerakan Bendera Putih yang dimulakan sejak beberapa hari lalu.

Dalam hantarannya di akaun TikTok, Harith mengajak pengikutnya supaya bersama-sama membantu menyalurkan maklumat mengenai mereka yang memerlukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kelolaannya, The Hope Branch.

“Gerakan Bendera Putih ini begitu besar. Kalau anda nampak bendera putih di mana-mana, sama ada di rumah atau bangunan, pergi tolong dan tengok apa yang anda boleh bantu.

“Kalau anda tak dapat tolong, tak mampu tolong atau anda sendiri memerlukan bantuan, sila hubungi NGO saya, The Hope Branch,” katanya.

Harith berkata, pihaknya akan cuba sedaya-upaya untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Hubungi kami di talian 019 7093103. Kalau boleh, bagi butir-butir seperti alamat dan lokasi, nombor telefon dan sebagainya untuk memudahkan kami mencari mereka yang memerlukan.

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu. Ini waktunya kita semua sebagai manusia untuk membantu antara satu sama lain.

“Tolong jiran, keluarga, orang yang kita tak kenal. Kita kena berdiri sebagai manusia,” katanya.

Dalam hantaran sama, Harith juga menyentuh mengenai kes bunuh diri yang semakin meruncing dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Baru-baru ini, saya terima banyak video di WhatsApp, orang bunuh diri, orang gantung diri, lompat dari bangunan. Saya tak dapat membayangkan apa yang terjadi kepada seseorang yang menyebabkan dia sampai ke tahap itu.

“Tapi, saya tahu, kes-kes ini bukan setakat apa yang kita terima di WhatsApp kerana itu hanya segelintir. Ramai sangat orang yang menderita di luar sana,” katanya.

Harian Metro

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis