Mesyuarat PN bincang politik Perak minggu depan – Tuan Ibrahim

NasionalMesyuarat PN bincang politik Perak minggu depan - Tuan Ibrahim

PAS akan mengadakan mesyuarat bersama kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat bagi membincangkan pergolakan politik di Perak.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya sudah memulakan perbincangan di peringkat dalaman parti dan akan duduk bersama dengan rakan parti komponen lain selepas ini.

“Kita akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dan saya pun dihubungi rakan-rakan daripada UMNO untuk kita duduk (berbincang).

“Jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) dan PN (peringkat PAS), akan duduk berbincang dalam masa sehari dua ini sebelum perbincangan bersama rakan-rakan kita daripada UMNO dan BERSATU,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke kawasan hakisan pantai di Kampung Pengkalan Maras di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada pergolakan politik yang berlaku di Perak akan merebak ke negeri lain, Tuan Ibrahim berharap kemelut politik itu tidak akan merebak ke peringkat Persekutuan dan negeri lain.

“Kita harapkan isu di Perak selesai walaupun kemungkinan digambarkan dalam banyak penulisan itu macam-macam tetapi bagi kita, kita cuba selesaikan di Perak.

“Dalam MN, PAS masih sebahagian komponen penting dan mesyuarat bulanan juga berjalan seperti biasa,” katanya.

Mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan bersedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Tuan Ibrahim berkata, beliau berpegang dengan kenyataan Ahmad Zahid yang sebolehnya mahu mempertahankan MN.

“Saya dengar kenyataan Datuk Zahid, beliau kata seboleh mungkin akan kekal bersama MN dan saya fikir yang ditulis oleh media itu tidak begitu.

“Jadi saya dengar kenyataan dia yang sebolehnya kita mempertahankan MN,” katanya.

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis