Merdeka 118 Cecah Paras Tertinggi Pada Tingkat 118

BeritaMerdeka 118 Cecah Paras Tertinggi Pada Tingkat 118

KUALA LUMPUR – Subsidiari milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), PNB Merdeka Ventures meraih satu peristiwa penting selepas menara ikoniknya Merdeka 118 mencapai kemuncak pada Aras 118 untuk menjadi bangunan tertinggi di Malaysia. 

PNB Merdeka Ventures dalam satu kenyataan berkata, apabila siap menjelang 2022, menara itu akan mencapai ketinggian penuh sekurang-kurangnya pada 644 meter, yang bakal menjadi bangunan tertinggi di Asia Tenggara. 

Presiden dan Ketua Eksekutif kumpulan, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, menara itu kini 81 peratus siap, dengan pemasangan muka hadapan kaca sedang dijalankan di Aras 108.

“Walaupun mengalami kelewatan akibat sekatan daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan pada tahun lepas, kami gembira kerana dapat mengatasi cabaran dalam tempoh garis masa yang disemak semula,” katanya. 

Menara berkenaan mempunyai lebih daripada tiga juta kaki persegi kawasan lantai, yang merangkumi 1.66 juta kaki persegi kawasan bersih ruang pejabat Gred-A dan kira-kira satu juta kaki persegi ruang niaga. 

Beberapa ciri unggul dilengkapkan ke dalam menara itu seperti dek pemerhatian ‘The View at 118’, yang juga platform yang tertinggi di Asia Tenggara serta Hotel Park Hyatt yang pertama dan satu-satunya di Malaysia pada paras 17 tingkat ke atas menara itu, kata PNB Merdeka Ventures.

Selain itu, menara berkenaan juga menawarkan peluang peruncitan melalui 118 Mall, yang dikelilingi oleh taman ‘Merdeka Boulevard at 118’ yang akan mempunyai kawasan kehijauan seluas 1.61 hektar dan kawasan lapang untuk orang ramai bersantai termasuk tiga menara kediaman premium yang mengelilingi menara pejabat, katanya. 

Presint Merdeka 118 juga akan menampilkan muzium tekstil dengan tumpuan kepada tekstil alam Melayu, pusat asuhan kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun dan Masjid Merdeka, sebuah masjid baharu dengan kapasiti sehingga 3,000 jemaah. – BERNAMA

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis