MCMC Terajui Pelaksanaan Ekonomi Digital RMK-12

BeritaMCMC Terajui Pelaksanaan Ekonomi Digital RMK-12

KUALA LUMPUR – Pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) memperlihatkan penekanan terhadap pertumbuhan ekonomi digital serta usaha memperkukuh infrastruktur dan perkhidmatan digital bagi membangunkan bakat masa hadapan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi negara.
Sebagai badan kawal selia komunikasi dan multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyambut baik RMK-12 dan menyifatkannya akan mempercepat penerimagunaan teknologi serta inovasi dalam menjadikan Malaysia negara berteknologi dan berpendapatan tinggi.

Menurut MCMC, negara sudah mencapai kemajuan dalam membangunkan infrastruktur digital dengan memantapkan kesalinghubungan sedia ada melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bermatlamat merapatkan jurang digital antara kawasan luar bandar dan bandar.

Melalui RMK-12, sasarannya ialah memastikan JENDELA dapat menyambungkan laluan gentian optik di sembilan juta premis di samping menyasarkan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk dengan kelajuan internet melebihi 100Mbps.

“Teknologi ini tidak hanya akan membawa perubahan kepada gaya hidup lebih pintar dan efisien, tetapi memacu keupayaan negara dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) sekali gus menjadi tarikan pelabur,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, MCMC akan mewujudkan ekosistem pusat data berskala besar bagi menawarkan perkhidmatan pengkomputeran awan (cloud services) berteknologi tinggi untuk memenuhi pemintaan pengguna.

Bagi merealisasikannya, MCMC bersama agensi kerajaan dan pihak swasta berusaha menarik lebih banyak pendaratan kabel dasar laut antarabangsa ke negara ini bagi memperluaskan kesalinghubungan global.

“Usaha ini tentunya akan melengkapkan infrastruktur ekosistem penyedia perkhidmatan bagi memenuhi tuntutan pengguna,” katanya.

Menurut MCMC, bagi meningkatkan kecekapan pertukaran data dalam negara, 12 Internet Exchange Point (IXP) sedia ada akan ditambah kepada 78 menjelang 2025 bagi memastikan pertukaran trafik Internet antara penyedia perkhidmatan lebih pantas dan lancar.

Bagi memperkukuh ekonomi digital setempat terutama golongan B40, 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) yang akan diubahsuai menjadi Pusat Digital Keluarga Malaysia, akan ditingkatkan bilangannya melalui penambahan 172 PIK.

Pusat Digital Keluarga Malaysia ini bukan saja menawarkan kemudahan latihan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) malah dapat meningkatkan kebolehan perniagaan usahawan.

“Pusat Digital Keluarga Malaysia juga akan bertindak sebagai titik sentuh (touch point) untuk pelaksanaan program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) bagi membantu usahawan mikro tempatan,”katanya.

Bagi menyokong pertumbuhan industri e-dagang, MCMC turut melaksanakan Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) bertujuan mempertingkat kualiti perkhidmatan dan kelancaran liputan kurier.

Ekosistem serba baharu ini, akan memberi peluang untuk rakyat berada dalam trajektori ekonomi digital negara dan mencetuskan IR4.0, seterusnya menyumbang sejumlah 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis