Malaysia Mahu Wujud Hubungan Dengan Israel?

BeritaMalaysia Mahu Wujud Hubungan Dengan Israel?

PUTRAJAYA: Malaysia secara tegas menafikan kenyataan oleh menteri Israel semasa wawancara dengan Erem News baru-baru ini yang mendakwa Malaysia mungkin akan menyertai Perjanjian Abraham dan menormalkan hubungan dengan Israel.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdulllah pada Rabu berkata, Malaysia teguh dengan komitmennya yang sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang pencerobohan Israel yang berterusan serta penindasan sistematik di bumi Palestin.

Beliau berkata Malaysia akan terus aktif melaksanakan agenda bilateral Palestin, termasuk dalam berbagai forum serantau dan antarabangsa untuk merealisasikan aspirasi rakyat Palestin demi kebebasan dan Negara Palestin yang merdeka.

“Sokongan berterusan Malaysia kepada perjuangan Palestin juga sebagai pengiktirafan terhadap aspirasi generasi baharu pejuang dan aktivis Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Saifuddin berkata Malaysia akan terus memberikan sokongan politik dan moral, serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dan menerusi organisasi antarabangsa seperti Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat serta memudahkan kerja-kerja pertubuhan masyarakat awam Malaysia bagi rakyat Palestin.

Menurut laporan media, Menteri Kerjasama Serantau Israel, Issawi Frej pada Isnin berkata bahawa Oman, Tunisia, Qatar, dan Malaysia mungkin menyertai Perjanjian Abraham.

Bekas pentadbiran Amerika Syarikat Donald Trump memulakan Perjanjian Abraham 2020, yang menyaksikan beberapa negara iaitu Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi, menormalkan hubungan dengan Israel.– BERNAMA

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis