Malaysia Bakal Terima Bekalan Vaksin AstraZeneca Dari Thailand

BeritaMalaysia Bakal Terima Bekalan Vaksin AstraZeneca Dari Thailand

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), hari ini, bersetuju memberi kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan ketika bencana kepada produk vaksin ‘COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection’ keluaran AstraZeneca daripada pengilang kedua, Siam Bioscience Co Ltd di Thailand.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengilang kedua itu adalah pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini.

Beliau berkata, PBKD sebelum ini meluluskan pendaftaran bersyarat, 2 Mac lalu, bagi pengilang Medimmune Pharma BV, Belanda, yang menjadi pengeluar bekalan vaksin AstraZeneca ke negara Eropah.

“Malaysia membuat perolehan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah, iaitu secara terus dengan pengeluar dan melalui fasiliti COVAX.

“Malaysia sudah mula menerima bekalan bawah fasiliti COVAX pada April lalu.

“Bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada Siam Bioscience Co Ltd, dijangka dapat mempertingkat kadar vaksinasi bawah PICK dengan lebih pantas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memaklumkan, kelulusan pendaftaran secara bersyarat itu memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk, iaitu AstraZeneca Sdn Bhd, mengemukakan data tambahan dan terkini produk vaksin berkenaan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, ia bagi memastikan kualiti, keberkesanan serta keselamatan vaksin berkenaan sentiasa dikemas kini, dengan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) kekal positif.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa mempertingkat tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19, melalui perolehan bekalan vaksin yang sudah dinilai dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta diluluskan PBKD.

“Kerajaan juga komited memastikan penduduk dewasa di Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras sasaran PICK,” katanya. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis