Mahkamah Benar ‘Undi 18’ Mula Semakan Kehakiman

BeritaMahkamah Benar ‘Undi 18’ Mula Semakan Kehakiman

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 18 anak muda mewakili gerakan ‘Undi 18’ dibenarkan mencabar tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Undi 18, iaitu langkah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik (AVR).

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan permohonan gerakan Undi 18 untuk mengemukakan semakan kehakiman dengan menamakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden.

Terdahulu, Ahmad Kamal dalam penghakimannya berkata, pindaan had umur mengundi mendapat perkenan dan diluluskan di Parlimen.

Katanya, mahkamah bersetuju dengan hujah pemohon pindaan beberapa akta berkaitan pilihan raya adalah isu kedua dan ia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelaksanaannya.

“Mahkamah perlu membenarkan perkara ini untuk didengar di peringkat seterusnya dan membolehkan responden memberikan penjelasan melalui afidavit, sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Sehubungan itu, mahkamah membenarkan prosiding semakan kehakiman dimulakan tanpa sebarang kos,” katanya.

Pada 2 April lalu, anak muda berusia antara 18 dan 20 tahun terbabit memfailkan tindakan undang-undang memohon beberapa perintah mahkamah berkaitan penangguhan pelaksanaan Undi 18 oleh responden.

Dalam permohonan itu, kumpulan anak muda terbabit memohon perisytiharan tindakan kerajaan menangguhkan penguatkuasaan penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun adalah tidak rasional, tidak sah, tidak seimbang serta satu bentuk penindasan pengundi.

Pemohon juga mahukan satu perisytiharan mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun mempunyai harapan berasas berhak mengundi pada atau sebelum Julai ini.

Anak muda terbabit turut memohon perisytiharan keputusan responden menangguhkan penguatkuasaan Seksyen 3(a) sebagai satu bentuk penindasan kepada pengundi berusia 18 hingga 20 tahun pada Julai ini. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis