Mahathir Dakwa Kerajaan PN Terbubar

BeritaMahathir Dakwa Kerajaan PN Terbubar

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia ada secara automatik didakwa sudah terbubar dan tidak boleh mentadbir negara apabila gagal mencapai persefahaman antara institusi diraja dan Kabinet, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) itu berkata, keadaan itu jelas dilihat menerusi pengumuman kerajaan berhubung pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat walaupun gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. 

Beliau berkata, tindakan pembatalan itu dibuat tidak mengikut lunas perundangan yang betul, selain tidak mematuhi mana-mana peraturan berkaitan yang termaktub. 

“Ikut pindaan kita (kerajaan terdahulu) buat sebelum ini, kalau raja (Yang di-Pertuan Agong) tolak maka dewan (Dewan Rakyat) mesti bincangkan sebab penolakan.

“Kalau tiada perubahan (berhubung sebab penolakan), dewan boleh hantar balik kepada raja. Kalau raja tak lulus selama dua bulan, barulah ia jadi undang-undang. 

“Bagaimanapun, ini (pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat) belum dikemukakan kepada Parlimen, selepas tidak dipersetujui raja… (kerajaan) buat pengumuman seolah-olah ia sudah jadi undang-undang,” katanya pada sidang media di Dataran Merdeka, hari ini. 

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi turut menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘Perdana Menteri tidak tahu malu’ apabila enggan berundur daripada jawatannya walaupun ada desakan supaya beliau berbuat demikian. 

“Apa mahu jadi dengan negara kita? Inilah apabila Perdana Menteri yang tak sepatutnya jadi Perdana Menteri, masuk ikut pintu belakang. Saya harap rakyat faham,” katanya. – BH Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis