Lokman Noor Adam Dipenjara Sebulan

BeritaLokman Noor Adam Dipenjara Sebulan

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu terhadap Lokman selepas mendapati tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin menjurus kepada ugutan dan ancaman serta menghina mahkamah.

Sehubungan itu, Lokman disabitkan atas kesalahan berkenaan dan diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Lokman untuk hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah kemudian memerintahkan Lokman dikenakan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu hari ini dan memohon supaya hukuman dan sabitan ditangguhkan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, membantah permohonan itu dengan alasan tidak sebarang keadaan istimewa untuk penangguhan dibenarkan.

Sementara itu, Muhammad Shafee dalam rayuannya memohon supaya Lokman tidak dikenakan hukuman berbentuk pemenjaraan.

Katanya, ini adalah kesalahan pertama Lokman dan tiada sebarang kontak fizikal berlaku dalam kes ini.

“Saksi tidak pernah mengadu bahawa beliau diancam… beliau juga tidak pernah memaklumkan kepada pendakwaan bahawa beliau terasa diancam,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, membantah rayuan itu dengan menyatakan Lokman tidak pernah menunjukkan sebarang kekesalan.

“Mahkamah sebelum ini, menjatuhkan hukuman penjara antara empat hingga enam bulan bagi kesalahan menghina mahkamah.

“Sehubungan itu, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman penjara,” katanya.

Pada 22 Oktober 2019, Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Pada 14 Januari 2020, Sequerah menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Thomas dan responden juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Thomas, yang dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi tempoh dua tahun menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum mengambil keputusan meletak jawatan pada 29 Februari 2020, memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya responden dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Menurut Thomas, pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Thomas berkata pada hari sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, saksi pendakwaan kelapan, berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.

Katanya, matlamat atau tujuan tindakan responden itu ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB. – myMetro Online

Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Terkini

Popular

Kolumnis